32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Penduduk Malaysia bertambah 1.7 peratus, menjadi 32.4 juta

Jumlah warga emas pula meningkat 2.5 peratus manakala golongan muda berkurangan 3.6 peratus

Mesti Baca

MALAYSIA mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan penduduk sebanyak 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun menjadikan jumlah penduduk negara ini ialah seramai 32.4 juta orang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melancarkan Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 berkata, dari segi jantina pula, jumlah lelaki masih mengatasi wanita dengan nisbah 110 lelaki berbanding 100 orang wanita.

Beliau berkata, daripada 32.4 juta penduduk Malaysia, sebanyak 52.3 peratus terdiri daripada lelaki manakala 47.7 peratus lagi adalah golongan wanita.

Bagamanapun, kata Perdana Menteri, Putrajaya mempunyai nisbah wanita mengatasi lelaki iaitu 100 orang wanita bersamaan 96 lelaki.

“Dari segi tempat kediaman, sebanyak 9.6 juta telah dibanci. Terdapat 8.2 juta isi rumah (IR) dengan Purata Saiz IR persendirian adalah sebanyak 3.8.

“Penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 69.4 peratus, diikuti etnik Cina (23.2 peratus), India (6.7 peratus) dan Lain-lain (0.7 peratus),” kata beliau ketika melancarkan laporan itu di MSU Shah Alam, Selangor hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Sementara itu, mengikut kumpulan umur pula, Ismail Sabri berkata, jumlah penduduk berusia antara 15 hingga 64 tahun paling ramai iaitu sebanyak 69.3 peratus berbanding 6.8 peratus penduduk berusia 65 tahun dan ke atas serta 24 peratus berusia 0 hingga 14 tahun.

“Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas direkodkan sebanyak 10.5 peratus atau 3.4 juta berbanding tahun 2010 sebanyak 8 peratus (2.2 juta orang).

“Umur muda menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24 peratus pada 2020,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, hasil bancian itu dapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa negara termasuklah saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan.

Jelas beliau, bertitik-tolak daripada maklumat yang diperoleh itulah pihaknya dapat menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan bernilai berbilion ringgit dapat dibelanjakan di seluruh negara.

“Di sinilah bagaimana kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat yang layak dan memerlukan seperti menangani jurang pendapatan dan kekayaan rakyat yang semakin melebar, membasmi kemiskinan dan mengurus kumpulan isi rumah berpendapatan B40, termasuk golongan mudah terjejas (rentan ekonomi) dan terpinggir.

“Di sini, Jabatan Perangkaan juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pengiraan kumpulan isi rumah berpendapatan mengikut kategori B40, M40 dan T20.

“Kumpulan sasar seperti warga emas dan golongan kurang upaya (OKU) turut tidak akan terkecuali menikmati limpahan kesejahteraan ini,” kata Ismail Sabri.

Tambah Perdana Menteri, penghasilan profil yang terperinci akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam.

Kata beliau, ini juga akan digunakan untuk pengiraan pendapatan perkapita, penggubalan dasar-dasar warga emas dan perancangan sosial.

“Di samping menentukan dasar dan polisi yang terbaik, maklumat yang dikumpulkan melalui banci ini akan digunakan untuk menilai pencapaian negara pada masa kini.

“Data yang dikumpul melalui Banci Penduduk dan Perumahan 2020 dapat memberikan gambaran kepada kita, di mana kita berada,” kata Perdana Menteri.

Ismail Sabri berkata, sebagai negara upper middle income (pendapatan pertengahan dan ke atas) dengan jumlah komposisi generasi muda dan para pelajar yang besar dalam masyarakat, kerajaan akan turut memfokuskan kepada penyediaan generasi muda agar dapat mengharungi cabaran IR4.0.

Langkah tersebut, katanya, dengan memperkasa kurikulum pendidikan sekolah dan universiti melalui memperkukuhkan sistem pendidikan yang holistik, serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran penilaian analitik berdasarkan data dan sains.

“Di samping itu, pewujudan dan peluang pekerjaan sememangnya menjadi antara agenda penting negara dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan