26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Bersatu Maran tolak dakwaan 31 anggotanya tinggalkan parti

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BERSATU Bahagian Maran hari ini menafikan kenyataan bahawa 31 anggotanya bertindak meninggalkan parti dan kembali ke pangkuan UMNO sepertimana didakwa semalam.

Ketua Bersatu bahagian itu, Jasri Jamaludin berkata, malahan Siti Nora Mohamad Noor yang mengetuai kumpulan tersebut juga bukan Ketua Srikandi bahagian berkenaan, sebaliknya hanya ahli biasa.

Beliau berkata, Bersatu Bahagian Maran tidak mempunyai rekod keahlian kesemua individu yang terlibat sebaliknya mereka adalah anggota sebuah NGO di daerah itu.

“Hanya Siti Nora seorang sahaja yang menjadi ahli Bersatu Bahagian Maran sejak 10 April tahun lalu dan beliau tidak terpilih sebagai Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Maran dalam Persidangan dan Pemilihan Bersatu Bahagian Maran yang diadakan pada 28 November lalu.

“Ketua Srikandi Bahagian Maran yang dipilih adalah Nur Amirah Shafiqah Mohamad Latipi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai 32 anggota Bersatu diketuai Siti Nora yang meninggalkan parti untuk kembali ke pangkuan UMNO sepertimana diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semalam.

Menurut Jasri, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Samsuddin tidak meneliti dan telah memberi maklumat yang salah serta tidak tepat kepada ketua partinya di negeri Pahang.

Malah beliau turut menegaskan kepimpinan Bersatu Bahagian Maran yang terpilih pada persidangan tahunan yang lalu masih kekal utuh dan bergerak sebagai satu pasukan bersama kepimpinan Srikandi dan Armada Bahagian.

Katanya, beliau mengikuti siaran langsung pengumuman tersebut yang disiarkan menerusi UMNO Online , lidah rasmi UMNO dan turut tular menerusi media-media sosial.

“Sebagai sebuah parti politik di negara ini yang mengamalkan prinsip demokrasi, kami pimpinan Bersatu Bahagian Maran bersikap terbuka dan
menghormati keputusan yang dibuat oleh seorang ahli Bersatu Maran iaitu Siti Nora meninggalkan parti Bersatu untuk menyertai UMNO ataupun mana-mana politik siasah sekalipun,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan