31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Hala tuju baharu PPR jayakan agenda Malaysia Berdaya Huni

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

HALA tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) ditetapkan dengan melihat kepada keperluan semasa dan memasukkan komponen baharu tersebut dalam usaha ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia.

Pembinaan baharu PPR tersebut akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses internet seperti fibre to the home (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa.

Perkara itu, dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) secara telesidang yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara serta Gabenor Bank Negara.

Hadir sama, wakil-wakil agensi penyedia perumahan yang terdiri daripada Agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun serta wakil pemaju perumahan swasta.

Menurut Perdana Menteri, MPMMN turut membincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak pemaju perumahan swasta.

Katanya, kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

“Oleh itu, Kementerian Perumahaan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperkenalkan Program Pemilikan Rumah (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga mahu supaya Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan.

“Ini bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah PPR dan rumah mampu milik.

“Fokus diberi untuk pembelian terus dan sewa untuk milik. Semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan.

“Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan komited untuk menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri.

“Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah.

“Kebimbingan mesyuarat adalah kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.

“Justeru, Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) diarah supaya menangani perkara ini.

“Jika ia berpunca daripada permit import (AP), mesyuarat mencadangkan supaya ia dibuka kepada semua,” katanya.

Ismail Sabri berkata, MPMMN juga mendengar pembentangan oleh Khazanah Research Institute dan Bank Negara berkenaan data-data semasa serta isu-isu berbangkit dalam aspek perumahan rakyat serta akses kepada pembiayaan bagi perumahan mampu milik.

Ujar beliau, maklumat-maklumat ini akan dijadikan asas kepada kerajaan untuk menambah baik strategi penyediaan perumahan mampu milik serta pengukuhan polisi-polisi berkaitan.

MPMMN merupakan platform bagi membincangkan dan menyelaras hala tuju perancangan, penyelarasan serta pemantauan bagi penyediaan rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara selaras dengan matlamat Satu Keluarga Satu Rumah. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan