28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Wajibkan institusi perbankan laksana moratorium

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN digesa mewajibkan semua Institusi perbankan melaksanakan moratorium secara automatik kepada semua peminjam dalam usaha meringankan beban ekonomi rakyat.

Menurut Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin, pemberian morotarium kepada semua kategori peminjam tidak akan merugikan institusi perbankan kerana kelonggaran pembayaran itu tidak akan mengurangkan faedah bank.

“Terdapat beberapa institusi kewangan yang telah menawarkan moratorium seperti BSN, Bank Rakyat, PUNB, Coop Bank Pertama dan beberapa bank lagi.

Justeru kerajaan wajar mengarahkan kesemua bank memberikan moratorium untuk membantu rakyat yang majoritinya mempunyai ikatan pinjaman dengan institusi perbankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shahrul Nasrun, lebih banyak impak positif sekiranya kemudahan moratorium diberikan kepada semua kategori peminjam, sekaligus dapat membantu proses pemulihan ekonomi negara.

Kerajaan katanya, perlu bertindak tegas dan berani untuk mewajibkan semua institusi perbankan memberikan moratorium tanpa faedah secara automatik kepada semua peminjam yang masih terkesan dengan pemotongan gaji dan hilang sumber pendapatan.

“Lanjutan moratorium itu tidak akan memberi kesan yang besar kepada pihak bank kerana berdasarkan kepada laporan Audit Tahunan Bank, bank-bank tempatan masih mencatatkan keuntungan jutaan dan bilion ringgit disebalik pandemik yang melanda.

Advertisements

“Tidak ada satu pun institusi perbankan di negara ini yang muflis setakat ini kerana memberikan moratorium, tetapi sebaliknya rakyat yang menjadi peminjam ramai yang telah muflis akibat kekangan kewangan,” katanya.

Tegas beliau lagi, inilah masanya pihak bank memainkan peranan dan tanggungjawab sosialnya dengan membantu peminjam yang selama ini membantu institusi perbankan mencatat keuntungan berlipat kali ganda.

“Pada masa yang sama, rakyat juga tidak perlu mengeluarkan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika kemudahan moratorium automatik dilaksanakan,” katanya.

Tambah beliau lagi, dalam situasi negara dan rakyat yang masih lagi dibelenggu dengan tekanan ekonomi kesan pandemik Covid-19 dan sekarang ditambah pula dengan bencana banjir luar biasa yang menyebabkan ramai terkesan, pihak institusi perbankan perlu memberi pertimbangan sewajarnya untuk membantu rakyat dan kerajaan.

“Jadilah sebuah institusi perbankan yang berhati mulia dan janganlah hanya memikirkan keuntungan secara berterusan semata-mata tanpa memandang kesusahan dan kesukaran yang dialami peminjam yang selama ini telah menyumbang keuntungan kepada anda”, katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan