26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Ulama tertua Pulau Pinang meninggal dunia

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

ULAMA tersohor dan tertua di Pulau Pinang, Datuk Syeikh Maulana Abdullah Abdul Rahman Al Bukhari Al Masyuri meninggal dunia hari ini pada usia 88 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 11 pagi tadi di kediamannya di Jalan Brani, George Town.

Allahyarham merupakan bekas imam di Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang semenjak tahun 1972 sehingga 31 Disember 2018.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Makam Noordin, di Masjid Kapitan Keling selepas solat Asar.

Turut berkongsi kesedihan dengan berita pemergian ulama itu Bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Zulkifli berkata, Allahyarham adalah antara ulama tua Pulau Pinang yang boleh dianggap sebagai mutiara berharga bagi negerinya.

“Kali terakhir saya menziarahinya dan menyampaikan sumbangan penghargaan kepada beliau adalah pada 9 Ogos 2020 semasa saya masih menjawat jawatan sebagai menteri.

“Beliau berkhidmat tanpa jemu sebagai Guru Takmir bermula pada tahun 1985 sehingga tahun 2019,” kongsinya.

Advertisements

Allahyarham Abdullah Abdul Rahman yang dilahirkan pada 29 Jun 1933 di Jalan Brani, Pulau Pinang lebih dikenali dengan panggilan Syeikh Abdullah Bukhari kerana menjadi rujukan dalam hadis al-Bukhari.

Beliau memulakan pendidikan awalnya di Madrasah al-Mashoor al-Islami dengan kelulusan 4 Thanawi dan pengkhususan Qismun Takhasasin dan Qismun Muallimun pada tahun 1952.

Allahyarham memperoleh kelulusan Tahfizul Qurani dari Jamia Misbahul Hudha, Nidur, India pada tahun 1953 selain memperoleh kelulusan Kelas Alim Maurlaui, Nidur, India pada tahun 1958.

Sepanjang hayatnya, Syeikh Abdullah Bukhari pernah mengajar ilmu Fiqh, Usul Fiqh, Mantiq, Tafsir dan Hadits di Madrasah al-Mashoor, Pulau Pinang pada tahun 1958 sehingga 1979.

Beliau juga sangat aktif dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang khususnya dan kebolehan memberi ceramah dalam beberapa bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Tamil dan bahasa Arab.

Allahyarham juga pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1960.

Anugerah yang diterima itu sebagai mengiktiraf sumbangan besar Allahyarham dalam perkembangan syiar Islam di negeri Pulau Pinang.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan