SEORANG ulama terkenal, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki secara terbuka menzahirkan harapan untuk melihat kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal.
Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan itu berkata, ia bagi mengelak kesan kepada perkembangan Islam dan ekonomi di negara ini.
“Kita di Malaysia ini lima tahun satu kerajaan, (kadang-kala) dua atau setahun satu kerajaan.
“Dasar berubah menyebabkan pondok pun lemah dan malap. Ekonomi malap. Ini bukan cara Islam,” katanya seperti dilapor FMT.
Beliau berkata demikian dalam ceramah pada Program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, Putrajaya, malam tadi.
Beliau berkata, perubahan kerajaan yang terlalu kerap hanya akan menjejaskan kehidupan rakyat termasuk perkembangan sekolah pondok dan menyebabkan ekonomi menjadi malap.
Syeikh Wazir berkata, kehadiran ramai dalam program keagamaan itu menunjukkan sokongan sepenuhnya kepada pimpinan Anwar yang mengetuai kerajaan perpaduan sejak penghujung 2022.
“Insya-Allah semua rintangan dan cabaran di negara ini dapat diselamatkan. Kerajaan pimpinan Datuk Seri (Anwar) dapat diselamatkan,” katanya.
Beliau turut mengimbau perkenalannya dengan Anwar yang telah lama wujud iaitu ketika beliau masih menuntut di Pakistan.
Katanya, antara bantuan paling tidak boleh dilupakan adalah sumbangan kewangan ketika beliau berada di negara itu selama 13 tahun.
“Ia untuk bantu pelajar Asean di Pakistan, kebaikan ini diteruskan beliau,” katanya.
Pembangkang merancang menganjurkan Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai depan dengan menyasarkan kehadiran 300,000 orang, meningkat berbanding sasaran awal 50,000 peserta.
Semalam, Anwar mencabar pengkritiknya supaya membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya mereka mahu mengambil alih pentadbiran Putrajaya.
Tegasnya, pembangkang boleh menunggu sehingga PRU akan datang jika gagal mendapat sokongan di Dewan Rakyat bagi usul terbabit.

