Monday, July 20, 2026

Pas usah berlagak ‘juara moral’, LGBT memang diharamkan

Sejak bila negera kita membenarkan LGBT? Golongan ini tidak pernah diiktiraf dalam apa-apa dasar kerajaan. - AMK

Mesti Baca

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) membidas Pas yang cuba berlagak sebagai ‘juara moral’ apabila mendesak kerajaan membuat pengisytiharan terbuka bahawa amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diharamkan di negara ini.

Ketua Penerangannya, Danish Hairudin berkata, Malaysia negara berteraskan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Justeru, tegas beliau, adalah tidak munasabah kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ‘lampu hijau’ kepada amalan songsang tersebut.

“Sejak bila negera kita membenarkan LGBT? Golongan ini tidak pernah diiktiraf dalam apa-apa dasar kerajaan. 

“Malah, undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan (Seksyen 377A dan 377B) jelas memperuntukkan hukuman bagi perbuatan liwat dan hubungan sejenis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebaliknya, Danish membidas Pas yang berlagak ‘juara moral’ sedangkan negeri-negeri yang ditadbir mereka sendiri merekodkan angka kes LGBT yang tinggi.

“Menurut laporan dan kajian NGO serta data tidak rasmi, Kelantan dan Terengganu sering menjadi negeri dengan kes pembuangan bayi, gejala sosial, dan bahkan kes penderaan seksual yang membimbangkan.

“Jika Pemuda Pas benar-benar serius, mengapa negeri mereka sendiri masalah sosial tidak pernah surut? Mengapa masalah penagihan dadah di Kelantan yang diakui sendiri oleh Ketua Pemuda PAS masih di tangga teratas negara?,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri telah berulang kali menegaskan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada agenda liberal ekstrem yang bertentangan dengan syariat dan budaya kita. 

Tambah beliau, hak asasi manusia tidak bermaksud mengiktiraf perbuatan yang jelas bercanggah dengan hukum agama dan nilai kemanusiaan.

“AMK mengingatkan Pas usah menangguk di air yang keruh dengan retorik murah untuk meraih populariti politik. 

“Fokuslah pada penyelesaian masalah sebenar rakyat, termasuk isu kemiskinan, pendidikan, dan penagihan dadah di negeri-negeri yang ditadbir mereka, daripada terus bermain isu sensasi yang sudah jelas pendiriannya,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa Perdana Menteri supaya mengisytiharkan secara terbuka bahawa LGBT diharamkan di Malaysia dari sudut pandangan Islam.

BeliU mendakwa golongan LGBTQ semakin berani kerana kerajaan memberi ruang sepenuhnya atas nama kebebasan hak asasi manusia. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan