29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Perjalanan umrah ditangguh selepas cetus 9 kluster – Khairy

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN mengambil langkah segera dengan menangguhkan semua perjalanan umrah ke Arab Saudi mulai 8 Januari ini berikutan tercetus sembilan kluster baharu COVID019 jemaah yang baru pulang dari Tanah Suci.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, daripada sembilan kluster tersebut, lima daripadanya disahkan membawa varian Omicron yang dibawa kalangan jemaah sehingga 30 Disember.

Menurut beliau, sehingga tarikh tersebut, seramai 11,108 jemaah umrah telah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76 peratus telah dikesan positif COVID-19.

“Daripada jumlah tersebut, 592 dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia dan 714 kes dikesan positif COVID-19 pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

“Semalam, terdapat dua lagi kes COVID-19 disahkan varian Omicron, menjadikan jumlah keseluruhan varian ini adalah sebanyak 64 kes.

“63 daripadanya melibatkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan. Daripada 64 kes jangkitan COVID-19 varian Omicron ini, sebanyak 32 kes (50 peratus) dikesan dalam kalangan jemaah umrah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Khairy berkata, perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah dari pelbagai negara semasa di Arab Saudi mendedahkan para jemaah umrah kepada risiko tinggi jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron.

Beliau berkata, situasi tersebut menyukarkan para jemaah untuk mematuhi prosedur operasi strandard (SOP) umrah yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

“Jemaah umrah juga berkemungkinan telah dijangkiti semasa berada di Arab Saudi tetapi masih dalam tempoh inkubasi jangkitan menyebabkan ujian saringan sebelum bertolak balik ke Malaysia masih negatif.

“Bilangan ketibaan jemaah umrah Malaysia yang ramai iaitu kira-kira 800 ke 1,000 sehari menggunakan empat penerbangan khas meningkatkan lagi risiko pengimportan kes COVID-19 dan varian Omicron ke dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, walaupuan kebanyakan jemaah yang pulang telah memohon menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh tujuh hari kuarantin.

Namun, katanya, apabila berlaku tidak kepatuhan kepada SOP ditetapkan, kes-kes positif COVID-19 dalam kalangan jemaah umrah telah menyebabkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

Melihat situasi tersebut, Khairy berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan jemaah umrah dan seterusnya dibawa ke Mesyuarat Khas Kuartet.

Hasil perbincangan-perbincangan tersebut, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan perjalanan umrah bermula 8 Januari sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Namun, bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci pada 1 hingga 7 Januari 2022, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan mereka.

“Manakala tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu pula ditangguhkan mulai hari ini,” kata Khairy.

Sementara itu, beliau berkata, jemaah umrah yang pulang dari Tanah Suci bermula 3 Januari, tidak lagi dibenarkan mengadakan kuarantin kendiri di rumah, sebaliknya akan ditempatkan di stesen kuarantin atau hotel yang telah ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan semua jemaah yang baru pulang dari Tanah Suci dan sedang menjalani kuarantin di rumah agar mematuhi SOP dan tatacara kuarantin yang ditetapkan termasuk tempat dan tempoh kuarantin.

Katanya, individu yang dikuarantin tidak dibenarkan menerima kunjungan daripada ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga semasa dalam tempoh kuarantin bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga, dan seterusnya kepada komuniti.

“Kegagalan untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Pegawai Diberi Kuasa di bawah seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta yang sama,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan