26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, September 30, 2022

Simpanan KWSP persediaan hari tua – Tengku Zafrul

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak sepatutnya dilihat sebagai penyelesaian sesuatu cabarankerana dikhuatiri akan membebankan pencarum pada masa tua terutama apabila Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dalam masa lapan tahun lagi golongan pesara dan warga tua akan merangkumi 15 peratus atau lebih 5.3 juta daripada penduduk negara dan golongan berkenaan memerlukan simpanan yang lebih banyak untuk membiayai sara hidup selepas bersara.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai menjawab desakan beberapa pihak agar kerajaan membenarkan pencarum KWSP yang terjejas dengan bencana banjir membuat pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 bagi tujuan membaik pulih rumah dan kenderaan mereka.

Menurutnya, simpanan KWSP adalah sebagai persediaan kepada pencarum pada hari tua mereka, apabila kudrat untuk terus bekerja mula berkurangan.

“Kerajaan sudah pun menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu rakyat tidak kira sama ada akibat bencana banjir mahupun pandemik Covid-19,” katanya menerusi rakaman video dalam Facebooknya hari ini.

Baca juga:   Perak longgar SOP, benarkan takbir Aidilfitri dari rumah ke rumah

Setakat hari ini, menurut Tengku Zafrul, melalui i-lestari, i-Sinar dan i-Citra, setiap ahli KWSP sudah dibenarkan untuk mengeluarkan sehingga RM71,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM101 bilion.

Beliau berkata, kerajaan juga sudah menyediakan bantuan kewangan lain bagi membantu aliran tunai golongan B40 dan M40 berjumlah RM10 bilion melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan juga Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang dimanfaatkan kira-kira 11 juta penerima.

Baca juga:   Najib 'ajar' kerajaan kaedah pengeluaran akaun 1 KWSP bantu rakyat

“Jikalau kita terus membenarkan pengeluaran untuk setiap bencana, sampai bila-bila pun simpanan hari tua tidak tercapai matlamatnya.

“Percayalah dalam menggubal dasar, kerajaan perlu bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan bukan sahaja bagi tempoh jangka pendek tapi juga kesejahteraan jangka panjang untuk anak cucu kita kelak,” katanya.

Beliau berkata, isu kekurangan simpanan kini berada di tahap amat membimbangkan dengan memberi contoh median simpanan B40 adalah sebanyak RM1,000.

Jika nilai tersebut kekal sehingga hari persaraan mereka hanya akan mempunyai RM4 sebulan untuk tempoh 20 tahun, manakala bagi ahli M40, jumlah itu adalah RM25,000 atau RM104 sebulan pada hari persaraan untuk tempoh yang sama.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan sudah menyalurkan bantuan wang ihsan yang ditingkatkan kepada RM1,000 kepada mangsa banjir baru-baru ini serta pelbagai jenis bantuan lain seperti untuk membeli perkakasan elektrik, membaiki kenderaan, diskaun sehingga 50 peratus bagi alat ganti kereta, pembiayaan pada kadar faedah sifar peratus, moratorium dan banyak lagi.

Baca juga:   Peratusan pengundi meningkat 13 peratus setakat 10 pagi

-EDISI9

Terkini

PM jamin ambil tindakan agresif, selamatkan rakyat Malaysia

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan akan mengambil tindakan terbaik bagi menyelesaikan isu pemerdagangan manusia...

Lagi Artikel Berkaitan