24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PM minta beri ruang pihak berkuasa siasat Azam

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya terhadap dakwaan pembelian saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Tegasnya, siasatan terhadap kes itu telah dilakukan pelbagai pihak, termasuklah Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan SPRM turut menjalankan siasatan dalaman sekali gus menolak dakwaan bahawa kerajaan berdiam diri.

“Saya sentiasa dimaklumkan, dan memantau isu berkaitan SPRM, tindakan telah diambil dan gambaran diberikan kerajaan berdiam diri adalah salah.

“SPRM merupakan suruhanjaya bebas (dan) ada tatacara sendiri kendalikan perkara seperti ini.

“Kita tunggu selesai siasatan, kita tidak boleh jump into conclusion seolah-olah Azam Baki bersalah, kita perlu berlaku adil kepada sesiapa sahaja, selepas selesai siasatan baru ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan bakul makanan kepada 206 keluarga mangsa banjir di Kota Marudu, Sabah hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini mendesak Azam dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang disiasat segera oleh satu badan bebas berhubung dakwaan itu, selain menyarankan dua individu berkenaan ‘direhatkan’ sementara siasatan berjalan.

Advertisements

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dengan salah laku, namun menyeru semua pihak supaya sentiasa konsisten dan berlaku adil terhadap sesiapa sahaja.

“Kita mesti yakin dan percaya dengan sistem yang kita ada, biar SPRM dan SC siasat dahulu… dahulu ada Ketua Menteri Pulau Pinang disiasat, tiada pula saranan direhatkan, kita kena konsisten jangan pula ada dwi-standard,” katanya.

Ujarnya, kerajaan akan memastikan SPRM kekal sebagai sebuah badan bebas dan memberi jaminan bahawa tiada campur tangan termasuk daripada Perdana Menteri sendiri.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, polis akan menyiasat Azam mengikut Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Beliau berkata, laporan polis yang dibuat terhadap Azam berhubung kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

“Kalau dilihat kesalahan yang dilaporkan, ini berkaitan dengan akta SC. Mereka akan membuat siasatan dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima maklum berhubung perkembangan siasatan berkenaan.

“Sekiranya ada kesalahan lain yang wujud, pihak polis akan memulakan satu lagi siasatan dan kertas siasatan baru akan dibuka,” katanya seperti dilapor media. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan