32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

16 ladang babi komersial di Melaka dijangkiti ASF

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 16 ladang babi komersial di Paya Mengkuang di Masjid Tanah, Melaka telah dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF).

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor berkata, bagi mengawal dan mencegah rebakan penyakit itu, pihaknya menguatkuasakan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi ladang yang telah disahkan positif ASF.

Beliau berkata, pemusnahan babi menggunakan kaedah gas CO2 (high concentration) berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan-Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna.

“Sehingga semalam, sejumlah 1,864 ekor ternakan babi dari ladang yang disahkan positif ASF di kawasan Paya Mengkuang telah berjaya dimusnahkan.

“Aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang ternakan babi di Paya Mengkuang terus aktif dijalankan bagi mengesan jangkitan penyakit ASF di semua 35 ladang babi di kawasan tersebut.

“Aktiviti pemantauan dan pemeriksaan juga diaktifkan melibatkan semua ladang-ladang penternakan babi di seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang kematian melibatkan babi hutan, babi kampung atau babi komersil bagi memudahkan kawalan dan pemantauan.

Norlizan berkata, aduan boleh dibuat kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan atau menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya (03-88702041).-Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan