27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

KPDNHEP jangka harga ayam naik awal bulan depan

Kenaikan tidak akan membebankan pengguna sebaliknya akan mewujudkan situasi menang-menang

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

RAKYAT negara ini diminta bersedia dengan kenaikan harga siling ayam yang dijangka berlaku awal bulan depan selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berakhir.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini berikutan golongan penternak terbeban dengan pelbagai kos operasi dan harga dedak import.

Bagaimanapun menurutnya, kenaikan itu tidak akan membebankan pengguna sekali gus akan mewujudkan situasi menang-menang.

“KPDNHEP akan mencari mekanisme terbaik termasuk melalui kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menstabilkan harga di peringkat peruncit serta pemborong.

“Sekarang paras harga siling ayam sehingga 4 Februari adalah RM9.10 sekilogram di peringkat peruncit, jadi semalam (Khamis) kita bincang sebab persatuan penternak mengeluh harga ternakan dan kos operasi dikatakan meningkat.

“Sebab itu saya panggil libat urus termasuk MAFI, Agrobank dan Kementerian Kewangan, kita mungkin boleh bantu mereka kurangkan beban kos operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sungai Rambai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, Jasin, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada situasi sekarang harga maksimum siling ayam itu disifatkan rendah dan perlu dipertimbangkan di antara peniaga dan pengguna.

Bulan lalu, Alexander melancarkan SHMKM pada 7 hingga 31 Disember dalam usaha menstabilkan harga barangan keperluan selain memastikan keberadaan bekalan di pasaran.

Skim tersebut melibatkan kawalan harga ke atas 12 item ditetapkan termasuk harga ayam, sebagai tindakan serius kerajaan menangani kenaikan harga barang.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan