26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Elaun latihan atlet dinaikkan semula – Ahmad Faizal

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BARISAN atlet kebangsaan kini boleh menarik nafas lega apabila elaun latihan bagi pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA yang sebelum ini dipotong kini dinaikkan semula.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan khabar gembira berkenaan sewaktu memberikan amanat pada majlis perhimpunan atlet dan jurulatih di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengarahkan MSN untuk segera melakukan penambaikkan kadar elaun kepada atlet-atlet yang terpilih mengikuti program latihan sepenuh masa.

“Ada berita gembira ingin saya sampaikan hari ini. Saya telah mengarahkan MSN untuk segera melakukan penambahbaikan kadar elaun latihan kepada atlet yang terpilih mengikuti program latihan sepenuh masa.

“Ia membabitkan langkah menaikkan elaun latihan untuk pemenang pingat perak Sukan SEA daripada RM800 kepada RM1,500 sebulan. Elaun pemenang pingat gangsa juga kini dinaikkan kepada RM1,000 sebulan berkuat kuasa serta-merta.

“Bagi atlet yang tidak memenuhi kriteria pemilihan untuk dimasukkan ke program latihan sepenuh masa, saya telah meminta MSN untuk terus menghulurkan bantuan setiap kali mereka hadir menjalani latihan secara berfasa,” katanya.

Terdahulu, MSN membuat penstrukturan semula kadar elaun latihan yang menyaksikan pemenang pingat emas Sukan SEA menerima bayaran elaun sebanyak RM2,000, manakala RM800 bagi perak dan gangsa.

Kenaikan semula kadar elaun itu sudah pasti menyemarakkan semula semangat barisan atlet untuk menampilkan prestasi terbaik pada penganjuran Sukan SEA seterusnya di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei depan.

Selain Sukan SEA, barisan atlet juga dijadualkan menghadapi beberapa temasya besar antaranya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham bermula 28 Julai hingga 8 Ogos dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China (10-25 September).

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan