MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin tidak menolak kemungkinan kes Covid-19 akan kembali meningkat susulan gelombang Omicron mula melanda negara.
Biar pun begitu, beliau menegaskan, keadaan tersebut terkawal berikutan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk negara itu sudah tinggi.
Khairy berkata, pada masa yang sama sistem kesihatan juga sudah bersiap siaga sementara kes serius juga semakin berkurangan.
“Gelombang Omicron bermula di Malaysia. Kes akan meningkat namun Insya-Allah terkawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi.
“Sistem kesihatan sudah bersiap-siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini. Mask (pelitup muka). TRISS. Booster (dos penggalak). PICKids,” katanya menerusi ciapan di twitternya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berhubung jumlah kes harian Covid-19 hari ini yang mencecah 4,744 kes.
Dr Noor Hisham berkata, dengan angka tersebut menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 di negara ini telah mencecah 2,844,969 kes.
Jumlah kes harian sebanyak 4,744 kes adalah catatan tertinggi dalam tempoh dua minggu, yang menunjukkan trend peningkatan sejak varian Omicron dikesan di negara ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam laporan harian kes Covid-19 berkata, jumlah kes sembuh sehingga 12 tengah hari ini adalah sebanyak 3,646 kes atau 97.2 peratus berbanding jumlah kes keseluruhan.
Katanya, daripada jumlah kes baharu hari ini sebanyak 4,315 atau 95.3 peratus adalah kes tempatan melibatkan 4,112 warganegara sementara 203 kes lagi membabitkan warga asing.
“Manakala 429 kes import pula melibatkan 289 warganegara dan 140 bukan warganegara,” katanya.
Mengenai jumlah kluster pula, beliau berkata, sebanyak 21 kluster baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 259 sementara 6,090 kluster sudah tamat. – Edisi 9