28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

76 remaja ditahan dalam Op Tapis Khas Narkotik

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 76 remaja ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam Op Tapis Khas dijalankan pada Jumaat hingga Ahad lalu.

Kesemua remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun itu antara 5,200 pengedar dan penagih yang ditahan dalam serbuan di 367 sarang penagihan dadah di seluruh negara.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah seberat 212.6 kilogram dan 1,199.2 liter bernilai RM3.58 juta.

“Dalam operasi itu, kita tahan 76 remaja dengan lapan daripada mereka masih bersekolah dengan dua daripadanya baru berusia 13 tahun, malah ada antaranya yang sudah menjadi tokan.

“Mengenai rampasan dadah, antara yang dirampas adalah heroin, syabu, ketamin, ganja, pil erimin 5, pil yaba, ekstasi dan daun ketum.

“Turut dirampas sepucuk pistol revolver .38, tujuh butir peluru dan dua laras senapang buatan sendiri,” katanya dalam sidang media Op Tapis Khas di Bukit Aman hari ini, lapor Harian Metro.

Selain itu, Ayob Khan berkata, JSJN juga menyita pelbagai aset sindiket dadah termasuk wang tunai berjumlah RM333,766, barang kemas berjumlah RM41,540, 34 kereta, 69 motosikal dan sebuah lori.

Beliau berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 39C, Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Katanya, pihaknya akan mengadakan Op Tapis Khas setiap bulan susulan perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Kita mahu konsisten dalam membuat operasi, tidak mahu tiga, empat bulan sekali. Sarang penagihan dadah ini juga kadang-kadang berpindah sebab itu kita membuat operasi secara berterusan.

“Buat masa ini operasi dijalankan oleh JSJN sahaja. Macam program jihad dadah, kita kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam),” katanya.-Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan