SERAMAI 45 sukarelawan terdiri daripada pegawai dan kakitangan Istana Negara bergerak ke Mentakab, Pahang bagi meneruskan misi kemanusiaan di daerah itu yang terjejas teruk akibat banjir.
Sukarelawan yang bergabung di bawah Pasukan Bencana Istana Negara yang idea penubuhannya dicetuskan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini mengadakan misi bantuan banjir penduduk empat daerah di Selangor.
Istana Negara berkata, pelepasan pasukan itu dilakukan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dan Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini di Kuala Lumpur hari ini.
“Misi bantuan ke Mentakab pada hari ini diketuai Pengarah Operasi Pasukan Bencana Istana Negara, Brigadier Jeneral Datuk Zahari Yahya dan melibatkan seramai 45 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Istana Negara.
“Sumbangan yang akan dihulurkan berbentuk barang keperluan harian seperti peralatan mandi, pakaian, tuala, makanan kering dan air, termasuk COVID-19 kit,” kata Istana Negara menerusi Facebook.
Pasukan Bencana Istana Negara juga dilengkapi peralatan untuk membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka yang terjejas.
Katanya, pada Jumaat dan Sabtu lalu, Pasukan Bencara Istana Negara mengadakan misi bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir di empat daerah di Selangor yang paling teruk terjejas iaitu Klang, Shah Alam, Hulu Langat dan Kuala Langat.
“Pasukan Bencana Istana Negara juga membantu mangsa banjir membersihkan masjid dan rumah mereka yang terjejas,” katanya.
Penubuhan Pasukan Bencana Istana Negara bagi menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat yang telah hilang tempat berteduh serta mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda akibat bencana banjir.
“Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan amat bersimpati dengan ujian serta keperitan yang ditanggung mereka dan menzahirkan harapan semoga bantuan serta sumbangan yang dihulurkan dapat mengurangkan beban mereka,” kata Istana Negara.
-EDISI9