30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ketua, ahli kumpulan ‘Adik Mat’ mati ditembak

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS menembak mati ketua kumpulan ‘Adik Mat’ dan seorang ahli kumpulan itu dalam kejadian berbalas tembakan di kebun getah dekat Kampung Batu Papan, Gua Musang, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, kedua-dua suspek masing-masing berusia 29 dan 36 tahun yang mendalangi kegiatan samun bersenjata dan pengedaran dadah itu mati di lokasi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D9 Polis Kontinjen Kelantan.

“Sebaik tiba dalam kebun getah berkenaan, pasukan polis melihat seorang lelaki berada di tangga sebuah pondok dua tingkat dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik kehadiran polis disedari, suspek melarikan diri dan pada masa sama seorang lagi suspek dari tingkat atas pondok berkenaan terjun dan melarikan diri bersama sebuah beg hitam.

“Ketika melarikan diri, kedua-dua suspek melepaskan tembakan menyebabkan polis membalas tembakan dan mengenai kedua-dua suspek. Kedua-dua suspek maut di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan hari ini.

Shafien berkata, hasil pemeriksaan pihaknya merampas dua pucuk pistol, 45 biji peluru hidup pelbagai saiz, tiga kelongsong peluru saiz 9mm dan 1,200 biji pil yaba.

Katanya, kedua-dua suspek ini dikehendaki polis berkait kejadian samun bersenjata, ugutan jenayah dan kegiatan pengedaran dadah sejak 2018.

“Ketua kumpulan sindiket berkenaan adalah suspek yang berusia 29 tahun, mempunyai 12 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah. Manakala suspek kedua yang juga anggota kumpulan berusia 36 tahun mempunyai empat rekod jenayah.

“Dengan tertumpasnya kumpulan ‘Adik Mat’ pihak polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes jenayah samun di Gua Musang,” katanya.

Shafien berkata, sebahagian besar kumpulan berkenaan sudah ditangkap dan pihaknya akan menjejaki saki baki kumpulan berkenaan.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, modus operandi suspek adalah melakukan samun dan mengugut untuk menembak mangsa sekiranya membuat laporan polis.

“Selepas melakukan jenayah, suspek akan bersembunyi di pondok di kebun getah berkenaan bagi mengelak dikesan pihak polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat dan Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960,” katanya.-Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan