27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Kena saman trafik? Rileks, nanti ada diskaun

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

SEORANG sahabat penulis memang jenis tak peduli soal kena saman bawa kereta. Tak kisahlah kena tembak dengan kamera atau ditahan dalam sekatan jalan raya, dia jenis tidak ambil pusing.

Dia sendiri mengaku mempunyai berbelas-belas saman tertunggak yang perlu dibayar. Itu belum masuk yang dikutip oleh isterinya. Kalau dicongak daripada RM300 saman perangkap had laju, kalau 10 saman dah RM3,000.

Tapi seperti penulis kata, dia jenis tak kisah kena saman pun. Nanti nak perbaharui cukai jalan, kalau ‘sangkut’ dia akan bayar. Itupun mana yang sangkut sajalah, yang tak sangkut ‘lantak pi-lah’.

Seorang lagi sahabat penulis pula sebaliknya. Dapat saman letak kereta dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang RM30 pun dia punya ‘gabra’ jangan cerita. Jam-jam itu juga dia akan pergi bayar.

“Saman-saman ini semua hutang tau. Nanti tak lepas hutang, kalau mati hutang ini semua tergantung.” Itu alasan beliau.

Penulis percaya di Malaysia ini kebanyakan pengguna jalan raya adalah seperti sahabat pertama.

Sebab itulah apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan potongan bayar saman sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia beberapa hari lalu, talian aplikasi MyBayar Saman boleh ‘down’ dua hari.

Itu belum cerita yang sanggup berbaris panjang di balai polis sebab nak selesaikan saman trafik, khususnya yang tertunggak selama bertahun-tahun.

Sebabnya masing-masing berpusu-pusu nak bayar saman. Punyalah banyak orang Malaysia kena saman trafik sehinggakan dalam tempoh 24 jam sahaja PDRM boleh kutip sehingga lebih RM13 juta.

Selangor Kuala Lumpur
SEKATAN Jalan Raya (SJR) yang dilakukan di Pandan Mewah, Kuala Lumpur. – Gambar hiasan: MOHD NAIM AZIZ / EDISI 9

Orang paling gembira sudah tentu sahabat penulis yang seorang itu. Dengan pemberian diskaun ini, daripada beribu ringgit yang perlu dibayar kini dia hanya perlu bayar ratusan ringgit sahaja.

Difahamkan dengan pemberian diskaun tersebut, saman had laju yang biasanya dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM300, kini hanya perlu bayar RM60 sahaja. Bagi kompaun RM150, hanya perlu bayar RM30.

Seronok jadi rakyat Malaysia, bukan? Langgar peraturan jalan raya, kena saman tapi usah bayar dahulu. Tunggu nanti pasti PDRM akan berikan diskaun sempena sesuatu perayaan.

Sebab itulah pemandu di negara ini tidak peduli soal peraturan jalan raya atau waima kena saman sekali pun.

Kalau seorang pengguna jalan raya di Malaysia ini seperti sahabat penulis yang pertama tadi, alamat tak gunalah diadakan peraturan jalan raya atau buatlah sekatan jalan raya 24 jam pun. Tidak sedikit pun menjadi beban kepada mereka.

Tiada istilah “tak mahu kena saman, ikutlah peraturan” sebaliknya bagi golongan seperti ini, “samanlah aku tak kisah, nanti ada diskaun aku bayarlah.”

Apa pun terima kasih kepada pihak kerajaan khususnya PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang begitu bermurah hati, sudi memberikan potongan sehingga 80 peratus bagi pembayaran diskaun.

Sudahlah itu, tempohnya pula dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

Tapi malangnya, ramai pula yang ambil kesempatan atas “kelembutan” hati pihak-pihak berkuasa ini.

Sungguh, beruntung jadi rakyat Malaysia.

Lastik! – Pernah kena saman

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan