26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PMKS perlu fokus dua perkara bagi percepat pemulihan – PM

Memanfaatkan inovasi, digitalisasi dan teknologi serta pembangunan jangka panjang yang menerapkan prinsip-prinsip kelestarian ESG

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERUSAHAAN mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu memberi fokus kepada dua perkara sekiranya mereka mahu segera bangkit daripada kejatuhan ekoran pandemik COVID-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Pertamanya, kata Perdana Menteri, PMKS perlu memanfaatkan inovasi, digitalisasi serta penggunaan teknologi untuk mendorong agenda pemulihan.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti menerusi e-dagang termasuk pembayaran secara digital, pembelajaran jarak jauh, persidangan video serta perkhidmatan logistik merupakan perkara lazim dalam ekonomi hari ini, disebabkan keperluan dan peluang yang semakin meningkat.

“Ini juga adalah antara usaha yang boleh membiasakan PMKS dalam era persaingan Revolusi Industri 4.0. Kita dapat melihat bahawa kehadiran PMKS di atas talian telah meningkat dua kali ganda daripada 35.3 peratus yang dicatatkan pada tahun 2019 (pra-COVID) kepada 75.8 peratus pada tahun 2021 (pasca-COVID),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2021 (SMIDEX21) di ibu negara hari ini. Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Perdana Menteri berkata, perkara kedua yang perlu diutamakan oleh PMKS ialah pembangunan jangka panjang yang menerapkan prinsip-prinsip kelestarian yang meliputi persekitaran, sosial dan tadbir urus (Enviroment, Social and Governance – ESG) ke dalam strategi perniagaan mereka.

Kata beliau, tumpuan harus diberikan kepada pengurangan kos dan peningkatan produktiviti menerusi kecekapan tenaga, prinsip ekonomi kitaran, amalan penggajian tenaga kerja yang baik serta struktur tadbir urus syarikat yang kukuh bagi memenuhi matlamat kelestarian.

“Menyedari hakikat bahawa penerapan prinsip-prinsip kelestarian adalah amat penting di dalam strategi perniagaan sesebuah PMKS, saya difahamkan SME Corp. Malaysia serta United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) sedang bekerjasama dalam usaha membangunkan PMKS yang mampan melalui satu platform digital yang dinamakan sebagai Action Centre for Sustainable Development of SMEs atau singkatannya ACCESS,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata, platform tersebut menyediakan khidmat nasihat kepada PMKS, pembangunan kapasiti serta jalinan rangkaian bersama syarikat besar yang terlibat di dalam amalan Sustainable Development
Goals (SDG) serta ESG.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan PMKS diberi penekanan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Katanya, strategi yang menjurus kepada inovasi dan pendigitalan, kelestarian dan pertumbuhan inklusif dijangka dapat mewujudkan satu ekosistem keusahawanan yang kondusif dan menyeluruh.

“Kerajaan terus mempergiatkan usaha bagi menambah baik akses dan peluang pasaran bagi membantu PMKS meningkatkan jualan di pasaran antarabangsa.

“Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama G2G serta usaha sama dalam kalangan negara ASEAN dan APEC serta pertubuhan antarabangsa yang lain,” katanya.

Ismail Sabri menambah, usaha juga akan dilaksanakan untuk memanfaatkan faedah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam memperluas akses pasaran dan mempercepat pengantarabangsaan PMKS, termasuklah pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 serta memeterai perjanjian FTA baharu.

Pelbagai inisiatif ini, jelas beliau, akan diteruskan menerusi platform antarabangsa seperti ini dan forum-forum seumpamanya bagi terus menambah baik persekitaran perniagaan serta mengurangkan halangan perdagangan seterusnya memartabatkan industri PMKS di persada antarabangsa. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan