33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Dewan Rakyat bukan kedai kopi, boleh bangkit apa saja isu

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

DEWAN Rakyat tidak sepatutnya dijatuhkan martabat menjadi kedai kopi dengan membangkitkan apa sahaja isu secara sewenang-wenang tanpa mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Demikian ditegaskan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini.

Beliau berkata, tidak ada Parlimen di negara-negara Komanwel yang membahaskan apa-apa isu yang dipetik dari udara sesuka hati dan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengikut peraturan.

“Bayangkan pada mana-mana hari pun dan bila-bila saja, tiba-tiba seseorang ahli Parlimen boleh bangun sesuka hati dan menghendaki apa-apa isu untuk dibahaskan dengan walaupun perkara tersebut tiada dalam agenda mesyuarat.

“Tuduhan terhadap saya adalah berniat politik dan saya tidak akan terjerumus di dalam kancah politik yang tiada penghujungnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas tuduhan beberapa ahli Parlimen dan pemimpin parti bahawa beliau menolak membahaskan isu banjir dalam sidang Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Parlimen Hibrid
Gambar hiasan: Facebook Parlimen Malaysia

Azhar menjelaskan, isu banjir itu tidak dapat dibahas kerana tiada seorang pun ahli Parlimen yang membawa usul tersebut sehingga hari persidangan pada 20 Disember itu.

Beliau berkata, tanpa adanya usul yang dikemukakan bagi membincangkan isu tersebut, pihaknya tidak dapat dibahaskan.

“Perbahasan hanya akan diadakan sekiranya ada usul, sama ada usul untuk mencadangkan sesuatu perkara ataupun usul untuk membentangkan rang undang-undang (RUU).

“Notis usul perlu diberikan secara bertulis kepada saya,” kata beliau.

Azhar berkata, bagi hal-hal yang tergempar dan diperlukan untuk dirundingkan secara tergempar, satu usul di bawah Aturan 18(1) perlu dibuat kepadanya sehari lebih awal.

“Untuk hal banjir ini, ahli-ahli Parlimen boleh sahaja memberikan notis kepada saya melalui Whatsapp dan sebagainya sebelum hari tersebut,

“Malah, satu usul bertulis boleh sahaja dibuat pada pagi 20 Disember 2021. Namun tidak seorang pun yang berbuat demikian,” kata Azhar.

Beliau berkata, isu mengenai banjir itu perlu diusulkan untuk dibahas bagi membolehkan pihaknya mengemukakan masalah tersebut kepada menteri berkaitan untuk dibahas dan dijawab.

Katanya, tanpa usul sebarang masalah yang hendak dikemukakan tidak dapat dibahas.

Azhar berkata, usul juga diperlukan agar pihak menteri berkenaan membuat persiapan untuk menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan semasa perbahasan.

“Tanpa usul, bagaimana pihak kementerian atau menteri dapat bersedia untuk menjawab? Malah bagaimana hendak ditentukan kementerian ataupun menteri mana yang perlu hadir untuk menjawab?” katanya.

Beliau berkata, usul juga diperlukan untuk sesuatu masalah dibahaskan dengan tatacara yang sempurna selain menghalang perkara-perkara tidak berkaitan dibangkitkan.

“Saya komited kepada perbahasan terbuka mengenai apa juga isu dan masalah yang dihadapi rakyat.

“Malah di bawah jagaan saya, saya telah mewujudkan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas dan mengadakan sekretariat buat pertama kalinay dalam sejarah Parlimen Malaysia bagi membolehkan proses semak dan imbang diperkukuhkan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan