25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Covid-19 sebabkan pendapatan isi rumah terjejas ketara – Mustapa

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KRISIS ekonomi akibat pandemik Covid-19 telah menjejaskan pendapatan isi rumah dengan ketara sama ada di bandar mahupun di luar bandar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata ini berdasarkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan 2020 yang menunjukkan purata pendapatan kasar bulanan isi rumah di peringkat nasional telah menurun kepada RM7,089 pada tahun itu berbanding RM7,901 pada 2019.

“Memang tidak dinafikan terdapat jurang pendapatan di antara (isi rumah) bandar dan luar bandar akibat pembangunan luar bandar yang lebih perlahan.

“Mengikut survei pendapatan isi rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019, purata pendapatan isi rumah di bandar adalah sebanyak RM8,635 sebulan berbanding RM5,004 bagi isi rumah di luar bandar,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara seperti dilaporkan Bernama, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk John Ambrose mengenai kesan Covid-19 terhadap jurang pendapatan antara golongan bandar dan luar bandar serta usaha kerajaan dalam mengurangkan jurang tersebut.

Menjelaskan selanjutnya, Mustapa berkata, jurang terbabit bukan hanya dari segi pendapatan, sebaliknya kerajaan turut memberi perhatian terhadap jurang pembangunan secara keseluruhan termasuk dalam aspek jalan luar bandar, akses kepada bekalan air dan elektrik serta infrastruktur digital dan elemen lain.

Oleh itu, katanya, kerajaan akan terus menambah baik aspek kesejahteraan penduduk luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif jangka masa pendek dan panjang.

Menurutnya, bagi jangka panjang, usaha akan terus dilaksanakan untuk mempercepat pembangunan luar bandar, terutama di kawasan terpencil tertentu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 seperti penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan, mempelbagai dan merancakkan aktiviti ekonomi, memanfaatkan sepenuhnya guna tanah untuk ekonomi luar bandar serta merancakkan semula industri kotej luar bandar.

“Strategi jangka pendek dan panjang yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ini bukan sahaja bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup isi rumah luar bandar, sebaliknya akan turut menyumbang kepada pembangunan kawasan luar bandar secara keseluruhan,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Malaysia, UNDP perbaharui kerjasama sehingga 2025

PARLIMEN Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju memperbaharui kerjasama merangkumi sistem Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan...

Lagi Artikel Berkaitan