24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

BWI telah disalur ke negeri-negeri terjejas banjir – KSN

Mesti Baca

PERUNTUKAN Bantuan Wang Ihsan (BWI) telah disalurkan kepada negeri-negeri terjejas banjir dan ia akan disampaikan kepada penerima melalui tiga kaedah, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, ia terdiri daripada kaedah serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB); serahan tunai rumah ke rumah; dan pemindahan tunai secara dalam talian (EFT).

“Kaedah ini dilaksanakan untuk memudahkan urusan penyaluran BWI kepada mangsa dengan lebih efektif dan pantas, dengan hanya pengesahan oleh Ketua Komuniti yang dipertanggungjawabkan, tanpa perlu mengisi sebarang borang permohonan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Menurutnya, ia adalah antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir yang dipengerusikannya di Perdana Putra, hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri antaranya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Mohd Zuki berkata, BWI sebanyak RM1,000 untuk Ketua Isi Rumah (KIR) KIR dan RM10,000 untuk waris mangsa bencana yang meninggal dunia telah disalurkan kepada pihak negeri, dan ia diselaraskan di peringkat PKOB dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, kerajaan telah memperuntukkan RM34 juta untuk disalurkan kepada 34,000 KIR di negeri-negeri yang terjejas banjir dan mula dibayar pada hari ini.

Advertisements

“Jumlah anggaran ini adalah berdasarkan maklumat KIR yang berdaftar di pusat penempatan sementara (PPS). Usaha mengenal pasti mangsa yang tidak berdaftar sedang giat dilaksanakan oleh PKOB dan ICU untuk memastikan bantuan dapat disalurkan segera,” katanya.

Mohd Zuki berkata, mesyuarat hari ini memutuskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengatur gerak sinergi aset-aset kerajaan dan keperluan aset daripada pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu bagi pengurusan pembersihan pasca banjir.

“Usaha itu akan dibantu secara langsung oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) khususnya menerusi penyediaan stesen pemindahan sisa pepejal sementara yang dikenal pasti di kawasan terdekat dengan kawasan terjejas banjir secara transit,” katanya.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula akan membantu memastikan kelancaran laluan jentera pembersihan untuk mempercepatkan penghantaran sisa pepejal pembersihan ke stesen yang ditetapkan.

Mohd Zuki berkata, mesyuarat juga memutuskan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyelaras pembahagian kawasan angkat terjejas banjir kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

“JPA juga menyelaras usaha mobilisasi anggota perkhidmatan awam bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat memutuskan pembaikan segera infrastruktur asas seperti jalan perhubungan, tebatan banjir, pembentungan, saliran dan utiliti diselaraskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan KASA melalui kaedah perolehan yang dipermudahkan bersama-sama Kementerian Kewangan (MOF), demi kepentingan awam.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan