28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

BBC mahu Ismail Sabri kekal PM sehingga penggal berakhir

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KELAB Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC) hari ini menyatakan pendirian mereka menyokong agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai Perdana Menteri sehingga penggal berakhir pada 2023.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mewakili kelab tersebut berkata, ini kerana Ismail Sabri telah menunjukkan kewibawaannya mentadbir negara dengan cemerlang dalam tempoh 100 hari sejak dilantik ke jawatan itu.

Beliau berkata, keputusan Parlimen yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan sokongan lebih dua pertiga hari ini juga membuktikan bahawa Ahli Parlimen Bera itu turut mendapat sokongan daripada parti pembangkang.

Menurut beliau, RUU tersebut telah diluluskan dengan sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen termasuk pembangkang, sekali gus membuktikan senario politik baharu serta kejayaan kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin Ismail Sabri.

“Baru sebentar tadi Perdana Menteri telah mendapat sokongan dua pertiga… 200 orang yang menyokong, tak ada seorang pun tak sokong.

“Inilah kehebatan, kewibawaan dan kepimpinan seorang Perdana Menteri. Tahniah dan syabas. Tulang belakang kepada kerajaan menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri supaya dapat menerajui Kerajaan hinggalah habis penggal 2023,” katanya.

Beliau menegaskan demikian dalam sidang media di Parlimen hari ini. Hadir sama lebih 20 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti antaranya UMNO, Pas, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Tajuddin berkata, berdasarkan kejayaan itu, Perdana Menteri perlu terus diberi peluang dan ruang untuk membawa lebih banyak perubahan kepada rakyat dan negara.

Beliau berkata, kelab tersebut akan memastikan Ismail Sabri akan terus memimpin kerajaan dan Kabinet agar beliau dapat memberikan fokus kepada usaha-usaha membela rakyat dan mengatasi masalah Covid-19 serta ekonomi rakyat.

“Kita menaruh kepercayaan yang tinggi kepada beliau (Perdana Menteru) kerana beliau telah menunjukkan prestasi yang cukup baik dalam 100 hari sebagai Perdana Menteri.

“Beliau bersama ahli-ahli Kabinetnya telah dapat membuktikan kejayaan mereka dalam menangani masalah wabak yang dihadapi oleh negara,” katanya.

Beliau berkata, jika diberikan masa kepada Perdana Menteri untuk menerajui negara, keadaan akan menjadi lebih baik lagi dari masa ke masa.

“Kita percaya kalau bagi sokongan padu dan peluang, insya-Allah Belanjawan 2022 yang telah diluluskan Parlimen akan membawa kebaikan kepada kesejahteraan rakyat negara kita di semua lapisan,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mewakili Pas turut menyuarakan nada serupa, iaitu mahukan Perdana Menteri kekal sehingga akhir penggal.

Beliau berkata, Ismail Sabri telah berjaya membawa satu wadah kepimpinan Keluarga Malaysia yang sangat berjaya.

“Kita (Pas) yakin banyak kita boleh laksanakan untuk kebaikan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan rantau. Kami berdiri penuh bersama Perdana Menteri sehingga akhir penggal, Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam sidang media sama berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak perlu diadakan awal memandangkan sokongan terhadap Perdana Menteri utuh dan stabil.

“Tentang pilihan raya, rakyat tidak mahu perkara ini berlaku lagi dan kita juga ada benda yang kita nak selesaikan seperti yang telah kita janji kepada mereka mengenai undi 18 tahun dan banyak perkara lain.

“Kita hendak pastikan supaya satu penggal, lima tahun itu bermaksud lima tahun. Kita tidak mahu dua tahun sahaja, kita buat pilihan raya. Sebab lima tahun ini bermakna kita boleh merancang untuk lima tahun.

“Dan kita juga boleh menyelamatkan wang untuk tidak adakan sebarang pilihan raya kerana banyak lagi perkara yang kita perlu selesaikan,” kata beliau.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan