26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Banjir: RM900 juta anggaran kos baiki jalan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Kerja Raya (JKR) menganggarkan kos semasa kerja pembaikan jalan raya Persekutuan dan negeri kelolaannya bernilai kira-kira RM900 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata anggaran itu berdasarkan penilaian tahap kerosakan selepas JKR melaksanakan pemeriksaan ke atas aset jalan.

Katanya, pemeriksaan mendapati banyak kerosakan berlaku pada jalan, jambatan, longkang, cerun dan struktur lain yang memerlukan pembaikan segera.

“Penilaian tahap kerosakan sudah dilaksanakan dan laporan cadangan pembaikan serta kos dimajukan kepada kementerian terbabit dan agensi pusat bagi kelulusan peruntukan.

“Kerja itu termasuk membetulkan permukaan jalan, pembaikan aset jalan yang rosak dan pembaikan serta pengukuhan cerun,” katanya seperti dilapor BH Online.

Ditanya fokus kerja pembaikan pasca banjir itu, Fadillah menjelaskan, tumpuan utama JKR adalah bagi memastikan semua aset kerajaan di bawah seliaan JKR iaitu jalan, jambatan dan cerun tepi jalan, yang terjejas akibat bencana dibaik pulih dan selamat digunakan oleh pengguna.

Katanya, ia dilaksanakan berdasarkan tahap kerosakan yang berlaku seperti menjalankan kerja pembersihan runtuhan, mengeluarkan komponen tanah longgar serta pemantauan dari semasa ke semasa.

Advertisements

“Laluan akan dibuka jika ia selamat digunakan,” katanya.

Bagi kawasan yang tiada laluan alternatif, JKR akan membina jambatan sementara, yang mengambil masa tiga hingga empat hari untuk disiapkan dengan menggunakan Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau dikenali sebagai ‘Bailey Bridge’.

“JKR mempunyai tujuh stor penyimpanan Bailey Bridge di seluruh Malaysia meliputi zon utara, selatan, timur dan tengah. Aset ini digunakan apabila berlakunya bencana,” katanya.

Selain itu, Fadillah berkata, JKR menjadi jabatan teknikal dan pakar rujuk kerajaan dalam bidang kejuruteraan forensik, geoteknik, struktur dan lain-lain, termasuk mengesan lokasi cerun berisiko.

Ketika ini, katanya, JKR sedang memeriksa pergerakan tanah runtuh dan kegagalan struktur, selain mengenal pasti lokasi cerun yang perlu diperkukuhkan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan