AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15.
Khaidhirah atau Dira, 37, dilantik dalam Sidang Pertama (Khas), Penggal Pertama DUN Melaka Ke-15 hari ini, selepas namanya dicadangkan oleh ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan disokong ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Bekas pelakon yang juga anak bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin itu memiliki Ijazah Sarjana Dasar Awam dari Universiti Malaya dan mula aktif dalam politik sejak 2015.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu, Khaidhirah yang bertanding buat kali pertama, menang dengan majoriti 1,327 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Azalina Abdul Rahman dan Pakatan Harapan (PH), K. Prasanth.
Beliau memperoleh 4,037 undi manakala Azalina (2,710 undi) sementara Prasanth mendapat 2,163 undi.
Terdahulu bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ibrahim Durum dilantik sebagai Speaker DUN Melaka selepas menjadi satu-satunya nama dicadangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Cadangan itu disokong oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), V.P Shanmugam.
Pada sidang itu, seramai 20 ADUN mengangkat sumpah jawatan di hadapan Speaker dengan upacara diketuai Sulaiman, disusuli barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan barisan pembangkang.
Bagaimanapun, beberapa ADUN tidak hadir untuk mengangkat sumpah pada sidang hari ini.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada 20 November lalu, Barisan Nasional (BN) menang besar dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.
Tujuh lagi kerusi dimenangi oleh Pakatan Harapan sebanyak lima kerusi dengan empat oleh wakil DAP dan satu Amanah, manakala dua lagi dimenangi Perikatan Nasional (Bersatu). – Edisi 9