28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Operasi dua kilang cemar alam sekitar digantung – JAS

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DUA kilang di Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang di Johor Bahru dikenakan tindakan gantung operasi kerana dikesan melakukan pencemaran alam sekitar, semalam.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, ia membabitkan sebuah premis yang didapati menjalankan aktiviti pirolisis tayar di Tanjung Langsat manakala sebuah kilang berasaskan pengilangan logam di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang.

Katanya, pengesanan di Tanjung Langsat adalah hasil operasi bersepadu dijalankan JAS Johor Cawangan Pasir Gudang bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pemeriksaan lanjut mendapati sistem kawalan pencemaran udara di premis terbabit, tidak mengikut spesifikasi ditetapkan sehingga menyebabkan pencemaran bau ke kawasan persekitaran.

“Sehubungan dengan itu, premis berkenaan dikenakan tindakan gantung operasi mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sementara itu, JAS memaklumkan sebuah lagi kilang di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang yang menjalankan aktiviti powder coating pula dikenakan tindakan gantung operasi mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh JAS Johor.

Katanya, ia berikutan kegagalan alat kawalan pencemaran udara dan menyebabkan pencemaran habuk ke kawasan sekitar premis terbabit.

“Kilang itu juga diarahkan mengambil langkah pembaikan dengan segera bagi memastikan pencemaran yang berlaku dapat diatasi.

“Kilang yang sama turut dikompaun RM10,000 atas pelbagai kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“JAS amat memandang serius perkara ini. Mana-mana industri diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan pencemaran dengan apa cara sekalipun, dan sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974 serta peraturan di bawahnya,” katanya.

Ujar JAS, pihak industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya. Tindakan tegas akan diambil jika berlaku kesalahan mencemarkan alam sekitar. – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan