27.6 C
Kuala Lumpur
Friday, December 3, 2021

Percaturan UMNO desak segerakan PRU-15 boleh makan diri

Mesti Baca

Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PERCATURAN politik UMNO yang mendesak kerajaan menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin boleh memakan diri, kata penganalisis politik hari ini.

Pakar geostrategik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, ini kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh menjadikan kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tempoh hari petunjuk sokongan rakyat terhadap parti itu setelah tewas dalam PRU-14 lalu.

Beliau berkata, PRN Melaka hanya melibatkan kira-kira 400,000 pengundi manakala jumlah mereka yang keluar mengundi hanya 65 peratus berbanding senario politik peringkat nasional yang begitu banyak perbezaan.

“Lagi pun UMNO dan BN tidak boleh dilihat terlalu mendesak supaya diadakan PRU-15 kerana mereka akan dituduh lebih mengutamakan kepentingan agenda politik mereka berbanding agenda rakyat.

“Jika rakyat melihat kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat mengekalkan momentum kestabilan negara, jadi buat apa nak tergesa-gesa adakan PRU-15.

“Beliau boleh mengadakan pilihan raya ini bukan setakat bulan Jun atau Julai tahun depan, malah sehingga penggal ini berakhir (Mei 2023),” katanya kepada Edisi 9.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub membubarkan Parlimen sesegera mungkin bagi membolehkan PRU-15 diadakan.

Desakan itu dibuat setelah BN berjaya meraih kemenangan dua pertiga dalam PRN Melaka pada 20 November lalu apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Baca juga:   Kerusi dimenangi BN akan kekal milik BN - Khaled

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula memberi kenyataan yang bertentangan apabila mahukan kerajaan mengutamakan agenda pemulihan negara yang masih dibelengu pandemik COVID-19 daripada agenda politik.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, biarpun momentum BN kini memuncak berikutan kemenangan besar Sabtu lalu, namun gabungan itu perlu berbincang terlebih dahulu demi kepentingan rakyat.

Baca juga:   PRN Melaka: BN utamakan muka baharu - Zahid

Azmi yang juga pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak terkejut dengan tindakan UMNO dan BN yang mahukan kerajaan mengadakan PRU-15 secepat mungkin bagi mengambil momentum kemenangan mereka di Melaka, walaupun jelas situasi peringkat nasional amat berbeza.

Beliau berkata, selain jumlah pengundi dan mereka yang keluar mengundi lebih kecil berbanding peringkat nasional, kegagalan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menawarkan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat menjadi penyebab pengundi mahu tidak mahu memilih BN.

Pada masa yang sama, keadaan pandemik COVID-19 masih tinggi manakala jumlah mereka yang menerima vaksinasi belum menyeluruh walaupun sudah mencapai kadar 90 peratus jumlah populasi dewasa hari ini menyebabkan negara belum sesuai untuk mengadakan perhimpunan secara besar-besaran.

“Pada ketika ini, walaupun 90 peratus sudah divaksinasi tetapi itu hanya membabitkan penduduk dewasa.

“Sebaiknya tunggulah sehingga lebih ramai mendapat vaksinasi termasuk golongan kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 17 tahun.

“Apabila vaksinasi kumpulan usia terbabit surah terpenuhi baharulah boleh dipertimbangkan untuk mengadakan PRU,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Trend kahwin lewat, kes cerai menurun antara perkongsian DOSM

JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) berkongsikan maklumat penduduk di negara ini kini mula berkahwin pada usia lewat 20-an berbanding awal...

Lagi Artikel Berkaitan