25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pemilik restoran tidak beretika patuh harga dikenakan tindakan

Mereka yang didapati melanggar undang-undang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 dan RM100,000

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMILIK restoran dan kedai makan yang tidak beretika dalam pematuhan berkaitan harga dan penggunaan alat timbang sah bakal dikenakan tindakan jika didapati memanipulasikan harga makanan berkenaan.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, menerusi Ops Menu yang dilancarkan, pihaknya akan mengenakan tindakan tegas ke atas peniaga yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 dan boleh dikenakan denda.

“Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM50,000 manakala jika orang itu adalah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000.

“Untuk kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972, peniaga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Ops Menu berkenaan, katanya, ia dilancarkan KPDNHEP bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan ke atas restoran dan kedai makan di seluruh negara melibatkan tanda harga serta alat timbang dan sukat.

“Antara lain tujuannya adalah untuk memastikan pematuhan perundangan berkaitan penandaan harga dan penggunaan alat timbang sah bagi perdagangan serta mengelakkan manipulasi harga dan penipuan timbangan oleh segelintir peniaga tidak beretika,” katanya.

Ujar beliau, Ops Menu memberi fokus pemeriksaan ke atas semua premis yang menyedia makanan siap masak termasuk restoran dan kedai makanan Melayu, Cina, India, India Muslim, medan selera, restoran makanan laut dan seumpamanya.

“Sasaran pemeriksaan adalah melibatkan tanda harga serta alat timbang dan sukat yang digunakan untuk oleh restoran dan kedai makan,” katanya.

Justeru katanya, KPDNHEP memberi peringatan kepada semua pengusaha-pengusaha restoran dan kedai makan agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan khususnya berkaitan penandaan harga dan alat timbang ini bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang termasuk didakwa di mahkamah atau dikenakan kompaun. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan