29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Wang tunai RM162,077 ditemui di kediaman warga asing

Pasangan suami isteri tinggal di Malaysia menggunakan PLKS palsu hidup mewah hasil menjalankan perniagaan menjual peralatan komputer

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PASANGAN warga asing dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hidup mewah dengan menjalankan perniagaan peralatan komputer serta tinggal di kondominium hasil penggunaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki Bangladesh berusia 30 tahun itu ditahan bersama isterinya, warganegara Indonesia berusia 44 tahun dalam serbuan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM di unit kondominium mewah di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Malah menurutnya, pemeriksaan turut menemui wang tunai sebanyak RM162,077 di dalam kediaman lelaki terbabit dan isterinya.

“Operasi penguatkuasaan ini adalah siri operasi Op ID Hack bagi menghapuskan sepenuhnya saki-baki kumpulan itu yang masih beroperasi dan memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu daripada sindiket ID Hack.

“Lelaki terbabit adalah pemborong dan penjual peralatan komputer di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota ini.

“Dengan hanya menggunakan PLKS palsu ID Hack, dia mampu menyewa sebuah kedai dan berjaya meraih keuntungan berlipat ganda hasil perniagaan berkenaan selain menyewa sebuah unit kondominium mewah sebagai kediaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, hasil pemeriksaan dan soal siasat, lelaki berkenaan turut menyamar sebagai warga Pakistan bagi mengaburi mata pelanggan.

“Lelaki berkenaan dikenali sebagai Ali dalam kalangan warga Pakistan dan sebagai Munsi Jewel oleh warga Bangladesh di sekitar ibu kota ini.

Beliau berkata, suami isteri itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1953/63 (Akta 155).

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 51(3) akta sama.

“Mereka akan ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan