24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Kadar kebolehjangkitan meningkat ; membimbangkan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt mencatatkan peningkatan sejak 6 November lalu mengundang kebimbangan biarpun kebanyakan indikator utama seperti purata kes aktif, kematian dan kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan analisis semasa jangkitan Covid-19 sehingga 13 November iaitu Minggu Epidemiologi (ME) ke-45, sebanyak 2,541,147 kes kumulatif Covid-19 dilaporkan dengan 64,047 kes aktif dan 29,631 kes kumulatif kematian.

Menurut beliau, peningkatan kadar kebolehjangkitan itu memberi kesan apabila kes baharu Covid-19 juga meningkat 11 peratus pada ME ke-45 berbanding minggu sebelumnya.

“Situasi ini kekal membimbangkan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana peningkatan kes baharu dan nilai Rt daripada minggu sebelumnya menggambarkan potensi penularan jangkitan Covid-19 kepada masyarakat, seterusnya risiko pendedahan yang lebih tinggi untuk dijangkiti oleh virus tersebut.

Advertisements

“Sebagai makluman, peningkatan nilai Rt berkadar terus dengan peningkatan kes baharu Covid-19 terutamanya jika langkah-langkah pencegahan tidak diamalkan sepenuhnya oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, pada ME ke-45 dari 7 November hingga 13 November, kes baharu meningkat 11 peratus iaitu daripada 35,303 kes (ME ke-44) kepada 39,181 kes(ME ke-44) manakala, purata kes aktif menurun 5.0 peratus iaitu daripada 65,573 kes (ME ke-44) kepada 62,224 kes (ME ke-45).

“Penurunan kes aktif ini dilihat konsisten sejak 10 minggu lalu. Kes kematian juga menurun 1.3 peratus iaitu daripada 380 kes (ME ke-44) kepada 375 kes (ME ke-45) dan purata kes di ICU juga menurun 2.0 peratus iaitu 516 kes (ME ke-44) kepada 504 kes (ME ke-4).

“Kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan menunjukkan penurunan 13.2 peratus dari 214 kes (ME ke-44) ke 186 kes (ME ke-45). Bagaimanapun, nilai Rt meningkat dari 0.96 (95 peratus CI 0.95 hingga 0.97) ke 1.05 (95 peratus CI 1.04 hingga 1.06) sejak 1 November,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan