25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Indikator utama rekod trend penurunan kecuali kadar kes ICU

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEBANYAKAN indikator utama menunjukkan tren penurunan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 kecuali kadar kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan peningkatan sebanyak dua peratus berbanding minggu epidemiologi sebelumnya (ME ke-43).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhannya, sehingga 6 November lalu sebanyak 2,501,966 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 65,505 kes aktif dan 29,256 kes kumulatif kematian.

Menurut beliau, dalam tempoh itu, kes baharu COVID-19 menunjukkan penurunan sebanyak 13.1 peratus iaitu daripada 40,613 kes (ME ke-43) kepada 35,303 kes (ME ke-44).

“Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak 7.0 peratus iaitu daripada 70,829 kes (ME ke-43) kepada 65,573 kes (ME ke-44). Penurunan kes aktif ini dilihat konsisten sejak sembilan minggu lepas.

“Kes kematian juga menunjukkan penurunan sebanyak 27.2 peratus iaitu daripada 522 kes (ME ke-43) kepada 380 kes (ME ke-44).

“Sementara, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan kenaikan 2.0 peratus iaitu 505 kes (ME ke-43) kepada 516 kes (ME ke-44).

“Kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula tidak menunjukkan perubahan ketara dan kekal sebanyak 214 kes (ME ke-44),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, nilai Rt Malaysia juga telah menunjukkan penurunan harian dari 0.96 (95 peratus CI 0.95 – 0.97) ke 0.91 (95 peratus CI 0.90 – 0.92) sejak 1 November 2021.

“Untuk makluman, nilai Rt melebihi 1 menunjukkan potensi berlakunya rantaian penularan jangkitan COVID-19 seperti yang dilihat pada permulaan gelombang ketiga,” katanya.

Berkenaan dengan kluster, beliau memaklumkan
terdapat kumulatif 5,719 kluster telah dilaporkan dan hanya 335 kluster masih lagi aktif (penurunan sebanyak 23.5 peratus berbanding ME ke–43).

“Sebanyak 137 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME ke-44, lalu menjadikan penurunan sebanyak 17 peratus berbanding ME ke-43,”katanya.

Advertisements

Menyentuh laporan vaksinasi pula, katanya, sejumlah 25,525,035 individu telah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19 setakat semalam.

“Sebanyak 75.2 peratus daripada keseluruhan penduduk telah menerima suntikan vaksin COVID-19 lengkap [94.8 peratus daripada populasi dewasa dan 74.9 peratus daripada populasi remaja].

“Selain itu, pemberian dos penggalak juga giat dijalankan dengan kumulatif 506,236 dos setakat 7 November 2021 di 672 pusat pemberian vaksin yang masih beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, jelas beliau, secara amnya, kadar pengunaan fasiliti kesihatan [katil wad biasa, Katil Unit Rawatan Rapi (ICU), dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC)] didapati semakin menurun selaras dengan peningkatan liputan vaksin.

“Sehubungan itu, bilangan katil yang diperuntukkan untuk merawat kes-kes COVID telah mula diturunkan secara berfasa di kebanyakan negeri bagi memberi perhatian kepada rawatan kes-kes selain COVID-19,”katanya.

Dr Noor Hisham berkata, di peringkat kebangsaan, bilangan pesakit COVID-19 yang dirawat di fasiliti kesihatan kian menurun dari minggu ke minggu di mana kedua-dua kategori pesakit iaitu kategori pesakit 1 dan 2 serta 3, 4 dan 5 didapati semakin menurun.

“Walau bagaimanapun, mulai ME ke-42 hingga ME ke-44, terdapat empat (4) negeri yang menunjukkan peningkatan dalam kemasukan pesakit kategori 3 hingga kategori 5 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perlis, Terengganu, dan Selangor dengan peningkatan sekitar 3 peratus hingga 17 peratus.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penilaian dari semasa ke semasa supaya tindakan awal dapat diambil bagi mengatasi sebarang kebarangkalian peningkatan kes COVID-19 di masa hadapan.

“Sehubungan dengan itu, rakyat dinasihatkan untuk terus mengamalkan kepatuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan walaupun telah menerima suntikan vaksin lengkap.

“Amalkan tindakan kesihatan awam kendiri walau di mana sahaja kita berada. Seperti yang kerap disebutkan oleh Menteri Kesihatan, “kita tidak selamat sehingga semua selamat, “katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan