27.6 C
Kuala Lumpur
Friday, December 3, 2021

Faktor kemenangan besar BN dalam PRN Melaka

Mesti Baca

Editor
Editor Edisi 9

Oleh DATUK SAIFUL BAHAR MOHD ARSHAD

RAKYAT negeri Melaka telah memilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung semalam dengan kemenangan bergaya dua pertiga.

BN memperoleh 21 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Kemenangan selesa ini disambut dengan majlis angkat sumpah Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali secara mengejut pada pukul 1 pagi di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengarah Pilihanraya BN merangkap Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Agak menghairankan kenapa mengadakan majlis angkat sumpah pada pukul 1 pagi sedangkan dengan majoriti dua pertiga, adalah amat sukar untuk mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendak melompat lagi.

Majlis yang sepatutnya diadakan pada pukul 3 petang hari ini dikatakan dibuat tergesa-gesa pada awal pagi. Kecualilah, ada calon lain juga berhajat untuk menjadi Ketua Menteri.

Oleh yang demikian, Sulaiman perlu segera mengangkat sumpah kerana bimbang tidak sempat melakukannya.

FAKTOR KEMENANGAN BN

PRN Melaka menyaksikan kemenangan bergaya BN adalah disebabkan beberapa faktor, iaitu :

  1. Peratus pengundi keluar mengundi sedikit iaitu hanya 65.8 peratus berbanding 85 paratus pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-14) lalu.

Apabila peratus pengundi yang keluar rendah, pengundi-pengundi atas pagar tidak mengundi PH atau PN. Yang keluar hanyalah pengundi-pengundi setia UMNO dan BN.

Harus diingat bahawa Melaka merupakan kubu kuat UMNO selama ini dan ini dibuktikan sekali lagi dalam PRN Melaka ini.

  1. Walaupun MCA menang dua kerusi dan MIC menang satu kerusi, namun ini tidak bermakna sokongan kaum Cina sudah kembali kembali kepada MCA.

Sebenarnya PH hanya kalah satu sahaja kerusi sahaja kepada MCA iaitu di Machap Jaya, kawasan majoriti pengundi Cina, tetapi calon PH di kawasan itu adalah daripada PKR dan bukan DAP.

Pengundi-pengundi Cina/DAP sebelum ini telah menolak calon PKR ini. Berkemungkinan sebagai tanda protes kerana tidak berpuas hati susulan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima dua bekas ADUN UMNO bertanding atas tiket PH.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang bertanding di DUN Asahan serta Datuk Nor Azman Hassan yang cuba mempertahankan kerusi DUN Pantai Kundor. Kedua-dua mereka tewas kepada BN.

Manakala kerusi-kerusi yang lain yang dimenangi MCA dan MIC merupakan kawasan campuran dan bukannya majoriti kaum Cina.

Sebagai contoh, kemenangan calon MIC di Gadek mengalahkan calon DAP (PH) merupakan kawasan majoriti Melayu iaitu sebanyak 61 peratus manakala kaum Cina dan India pula masing-masing mempunyai 22 peratus dan 16 peratus.

Dalam PRU-14 lalu, kerusi Gadek dimenangi oleh DAP ekoran perpecahan undi Melayu manakala bukan Melayu pula iaitu sebanyak 38 peratus diberikan kepada parti itu.

DAP gagal mempertahankan DUN Duyong. Bagaimanapun, kawasan ini merupakan kerusi majoriti Melayu iaitu yang mempunyai 61 peratus, Cina (33 peratus) manakala India 4 peratus.

Bagi kerusi-kerusi majoriti Cina, masih menjadi kubu kuat DAP. Parti itu menang selesa di Kesidang dengan majoriti 10,237 undi, Kota Laksamana (11,494 undi) dan menang di Bandar Hilir dengan 7,778 undi majoriti. Bagi Ayer Keroh pula, DAP menang dengan majoriti 5,624 undi.

  1. PRN Melaka memperlihatkan kekalahan teruk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka gagal di semua 11 kerusi yang ditandingi termasuk di Machap Jaya.
  2. PRN Melaka mengesahkan bahawa Melaka bukanlah kubu kuat bagi Pas. Nyata parti itu tidak mempunyai penyokong yang ramai di negeri Hang Tuah tersebut.
Baca juga:   PKP penuh: MB, Exco Terengganu potong gaji sebulan
Baca juga:   Perbanyakkan selawat, moga terlindung dari wabak COVID-19

Kalau adapun, mereka kebanyakannya sudah berhijrah mengikuti Mohamad Sabu dan Adly Zahari di Melaka. Kekuatan Pas di Melaka tidak sama seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pas gagal menang sebarang kerusi.

  1. Walaupun begitu PN melalui Bersatu berjaya mengekalkan dua kerusi DUN Melaka iaitu di Sungai Udang dan Bemban. Kedua-dua calon PN/Bersatu itu adalah doktor perubatan dan anak muda.

PENGAJARAN BERGUNA KEPADA PN

PRN Melaka memperlihatkan Bersatu berjaya memperbaiki kedudukan mereka menjadi pesaing paling rapat kepada BN, mengatasi PH.

PN merupakan gabungan parti yang baharu berusia dua tahun berbanding dengan BN yang telah dibentuk 48 tahun yang lalu, iaitu sejak 1973.

Bagaimanapun, parti itu akan menjadikan PRN Melaka sebagai asas untuk mengharungi pilihan raya yang lain pada masa akan datang. Paling dekat ialah PRN Sarawak.

Sebagai contoh di Pantai Kundor, menyaksikan BN hanya menang dengan majoriti tipis iaitu sebanyak 827 undi. Calonnya, Tuminah Kadi memperoleh 3,960 undi.

Manakala calon PN/Bersatu, Mohamad Ridzwan pula berjaya memperoleh 3,133 undi sementara Datuk Nor Azman Hassan yang bertanding atas tiket PH/Amanah mendapat 2,799 undi.

Jelas, kombinasi undi PN dan PH yang diperolehi ialah 5,900 undi iaitu jauh daripada yang diperolehi oleh calon BN. Ini bermakna perpecahan undi PN dan PH di kawasan itu telah menguntungkan BN.

Selain itu, terdapat banyak lagi kawasan seumpama itu, iaitu perpecahan undi antara PH dan PN telah memberi keuntungan kepada UMNO dan BN.

Ini amat berbeza dalam PRU-14, yang mana perpecahan undi antara BN dan Pas telah menguntungkan PH ketika itu.

  1. Kemenangan BN pula membuktikan pengundi-pengundi luar bandar dan orang lama masih setia bersama BN. Parti itu masih mempunyai penyokong tegar di Melaka.

Nyata pandemik Covid-19 yang melanda tidak menghalang pengundi-pengundi setia BN untuk keluar mengundi calon mereka.

Walaupun ada beberapa kerusi BN menang dengan majoriti tipis seperti di Tanjung Bidara (364 undi), namun menang tetap menang.

  1. Seperkara lagi yang nyata, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh kerajaan jelas menguntungkan BN serta merugikan PH dan PN.

Kempen-kempen tanpa ceramah dan bersemuka nyata tidak efektif. Kempen-kempen melalui media sosial juga kurang berkesan kepada pengundi-pengundi luar bandar. Ini perlu difikirkan semula.

Sesungguhnya kemenangan besar BN di Melaka boleh dijadikan batu lonjatan kepada parti itu dalam pilihan raya akan datang, khususnya PRU-15.

Tahniah dan syabas BN! Kita tunggu PRN Sarawak pula.

  • Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad adalah penganalisis isu semasa. Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Trend kahwin lewat, kes cerai menurun antara perkongsian DOSM

JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) berkongsikan maklumat penduduk di negara ini kini mula berkahwin pada usia lewat 20-an berbanding awal...

Lagi Artikel Berkaitan