32.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Gelombang Biru di Melaka bukti BN kekal relevan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DR NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS

ALHAMDULILLAH dan syukur, Barisan Nasional (BN) telah menang bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan prestasi yang amat membanggakan.

Sebanyak 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan memihak kepada BN dan lebih mengejutkan kita berjaya merampas kerusi milik PKR, DAP, Bersatu dan Amanah.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Duyong, Pengkalan Batu dan Gadek adalah milik DAP sebelum ini dan kita berjaya menawannya. Begitu juga dengan PKR di Kelebang turut berjaya ditewaskan.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) ini sering dilihat sebagai solid dan mampu menang, namun tewas jua dengan BN. Apatah lagi Perikatan Nasional (PN) yang baru ‘setahun jagung’.

Begitu mudah ego dan keangkuhan PN ditewaskan BN.

Bagi saya ada beberapa faktor yang menyebabkan rakyat menolak PN dan PH sepenuhnya:

Pertama, rakyat telah merasa zaman perintahan tiga parti iaitu BN, PN dan PH. Terbukti BN adalah yang terbaik kerana matlamat kita adalah meneruskan agenda pembangunan rakyat yang realistik.

Rakyat juga muak dengan sikap PN yang diketuai Bersatu kerana sering play-victim dengan menyalahkan UMNO atas kegagalan dasarnya sendiri.

Taktik Bersatu dan Tan Sri Mahiaddin Yassin yang sering meraih simpati ini ternyata tidak laku di mata rakyat. Begitu juga dengan naratif “Abah Sayang Melaka” yang terbukti sebagai strategi politik yang memakan diri.

Advertisements

Kedua, BN berani menampilkan lebih ramai muka baharu sebagai calon PRN selaras dengan tuntutan rakyat yang mahukan pemimpin baharu daripada pelbagai latar belakang.

Inilah yang BN perlu lakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan mengemukakan calon-calon baharu yang berpotensi menang bagi membolehkan kita mentadbir negara sepenuhnya.

Gelombang Biru ini berlaku kerana rakyat mahukan kestabilan dan amat berharap agar agenda pembangunan dapat diteruskan oleh parti yang tahu mentadbir iaitu BN.

BN adalah arkitek negara sejak zaman merdeka lagi. Bukan PH, bukan PN tetapi BN yang membawa kemajuan dan kita akan meneruskan agenda ini semula.

Syabas kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hassan atas strategi politik yang cekap dan ternyata berjaya.

Setinggi tahniah dan terima kasih tidak terhingga kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut sama mengorbankan masa turun padang dan berkempen serta membantu calon-calon BN walaupun sebagai Perdana Menteri umum tahu mempunyai jadual kerja yang padat.

Begitu juga dengan Datuk Seri Najib Tun Razak yang amat komited membantu calon-calon BN sepanjang proses berkempen ini. Alhamdullilah Keluarga Malaysia di Melaka ini bersama BN.

Kepada sahabat-sahabat saya yang terpilih sebagai wakil rakyat, jalankanlah amanah ini dengan sebaiknya dan teruskan agenda membela rakyat.

Terima kasih juga kepada semua jentera UMNO, penyokong dan ahli parti seluruh negara yang sentiasa bersama-sama di saat susah dan senang.

Ketika kalah kami setia, ketika menang kami bangga. Terima kasih orang Melaka. Tahniah BN!

  • Penulis adalah Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.
Advertisements

Terkini

TLDM tubuh lembaga siasatan tragedi nahas dua helikopter

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian maut melibatkan dua buah helikopter...

Lagi Artikel Berkaitan