TAKTIK licik dua kakitangan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membuat penghantaran barangan berisi dadah dengan mengisytiharkan lima kotak sebagai barangan elektronik bagi mengaburi pihak berkuasa terbongkar apabila tumpas dalam pemeriksaan yang dilakukan pada 22 Oktober lalu.
Suspek yang dipercayai menjadi ‘tali barut’ sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai RM8.1 juta itu antara empat individu yang diberkas polis dalam operasi diadakan antara 22 hingga 26 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata, empat lelaki ditahan itu berusia antara 34 hingga 59 tahun dan dikesan aktif melakukan penyeludupan dadah sejak pertengahan 2021.
Menurut beliau, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA membuat pemeriksaan ke atas penghantaran barangan menggunakan kargo udara ke Auckland, New Zealand di KLIA pada jam 9.30 malam, 22 Oktober lalu.
Katanya, penghantaran itu membabitkan lima kotak yang diisytiharkan berisi barangan elektronik.
“Bagaimanapun pemeriksaan polis berjaya menemui dadah syabu seberat 200 kilogram.
“Jumlah dadah dirampas itu boleh digunakan oleh seramai sejuta penagih dadah,” katanya pada sidang media di KLIA hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd. Rahman.
Menurut beliau, ini adalah kali ke lima cubaan menghantar dadah melalui KLIA ditumpaskan sepanjang tahun ini dengan kerjasama pihak keselamatan KLIA.
“Semakan rekod jenayah mendapati empat suspek berasal dari Lembah Klang itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing mendapati salah seorang suspek positif ganja,” katanya.
Menurutnya, pihak polis merasa kesal kerana kakitangan kargo yang ditahan itu disifatkan pengkhianat kepada negara.
“Mereka seolah-olah menjadikan negara ini sebagai hub kepada pengedaran dadah yang boleh mencemarkan imej negara.
“Polis juga sedang menggiatkan usaha untuk mengesan dalang utama di sebalik sindiket dadah ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut melucutkan harta milik suspek ditahan membabitkan sebuah pacuan empat roda,wang tunai RM3,560, jam tangan mewah bernilai RM3,560 dan wang di dalam bank berjumlah RM49,000.
“Suspek kini ditahan reman hingga 5 November bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.- Edisi 9