28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Akta berkaitan ‘whistleblower’ perlu diperhalusi, dikaji semula

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

UNDANG-undang berkaitan pemberi maklumat atau whistleblower di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) akan diperhalusi dan dikaji semula dalam usaha meningkatkan integriti nasional.

Memetik laporan Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang yang ada ketika ini adalah tidak mencukupi dan perlu dikaji semula.

“Mengenai whistleblower ini, saya masih mengkaji. Dari tahun 2017, saya kata undang-undang berkaitan whistleblower ini masih belum mencukupi dan perlu dikaji semula. Kalau cakap orang kita, tiada bos. Whistleblower itu tidak dipantau oleh mana-mana pihak.

“Diletak di bawah kementerian saya di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) kementerian ini, tiada orang yang mengendalikan.

“Kalau kita lihat di negara lain, ia di bawah pengarah di Amerika dan ombudsman di Australia, kita kena fikir perkara itu dan saya sudah minta pihak BHEU untuk mengkajinya,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan penyampaian resolusi Konvensyen Integriti Nasional 2021 (KIN2021) di Menara Integriti Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga berkata, kajian itu perlu bagi menjamin rahsia pemberi maklumat terpelihara sekiranya melakukan aduan membabitkan sesebuah agensi.

“Kita boleh letak di bawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) supaya apa sahaja aduan mengenai sesuatu agensi, pihak ini yang akan menyimpan rahsia.

“Jadi baru orang ramai (melakukannya), setakat ini, whistleblower tidak ramai kerana orang tidak berani untuk lapor. Kalau nak lapor pada polis, polis akan selidik dan maklumat pelapor itu polis tahu. Jadi, orang tidak guna akta pemberi maklumat ini.

“Melainkan jika ada satu agensi untuk menyelia dan orang ini akan simpan rahsia siapa yang melapor. Jadi untuk masa sekarang, ia di bawah kajian, insya-Allah kita akan cari cara memperbaiki,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia Nor’afiza Saim berkata, institut itu akan terus memberi tumpuan bagi menghalang perlakuan rasuah dan penyelewengan dalam sesebuah organisasi selain meningkatkan integriti sektor awam mahupun swasta menerusi pembangunan sistem baharu.

Beliau berkata, berbekalkan mandat yang diberikan, pihaknya akan membantu organisasi menghalang salah guna kuasa dan rasuah dengan tumpuan adalah lebih kepada sektor swasta kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia lebih kepada sektor awam.

“Kita sekarang menggunakan standard antarabangsa iaitu Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS), kita akan mula bangunkan standard sendiri iaitu Sistem Pengurusan Integriti. Jadi insya-Allah, dengan sistem ini kita boleh tingkatkan integriti dalam organisasi itu tidak kira sektor awam mahupun swasta,” katanya.

Antara resolusi yang dikemukakan pada KIN2021 itu ialah menilai dan membaiki kerjasama, pengagihan semula pembangunan dan populasi berintegriti, pemerkasaan ekosistem pendidikan, merapatkan jurang komunikasi dan sistem pengurusan maklumat, pelaksanaan dan perancangan secara adil serta pengkhususan nilai kekeluargaan.

-EDISI9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan