26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Wanita berlumuran darah maut dikelar anak saudara

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG wanita warga emas ditemukan mati dengan kesan kelar dan tikaman pada leher dipercayai dibunuh anak saudaranya dalam kejadian di Kampung Cina dekat Menglembu, Ipoh, Perak, hari ini.

Memetik laporan Utusan Online, mangsa, Aw Foong Meng, 73, ditemukan dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di tepi katil dalam bilik di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat melalui MERS 999 tentang seorang wanita pengsan di lokasi kejadian pada pukul 3.10 petang.

Katanya, polis kemudian ke lokasi tersebut dan mendapati terdapat seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kelar dan tikaman pada leher dengan senjata berupa pisau masih tertusuk di belakang leher wanita itu.

“Susulan itu, kita menahan lelaki berusia 40 tahun yang juga anak saudara mangsa dan tinggal bersamanya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut beliau, motif dan punca kejadian itu masih dalam siasatan polis termasuk pemeriksaan rekod perubatan dan kesihatan mental suspek.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, A. Lingam, 37, berkata, suspek tinggal bersama wanita itu sejak beberapa bulan lalu dan dipercayai mengalami masalah mental.

Katanya, sejak beberapa hari lalu, lelaki terbabit juga memberitahu mengenai individu yang mahu memukul dan membunuhnya.

“Suspek tidak pernah kacau orang dan dia hanya diam jika berjumpa. Bagaimanapun, baru-baru ini dia beritahu ada orang datang untuk pukul dan bunuhnya.

“Saya periksa kawasan rumah, tapi tiada orang asing yang masuk ke sini. Saudara mereka maklumkan yang suspek sakit mental dan sudah tiga bulan tidak makan ubat,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan