SEORANG wanita yang juga bakal pengantin ingin mendapatkan rawatan alternatif di Kampung Tendong, Pasir Mas, Kelantan, 14 Oktober lalu berhadapan detik-detik menakutkan apabila bukan hanya dirogol seorang bomoh, malah diugut untuk tidak melaporkan hal berkenaan kepada pihak polis.
Bagaimanapun, kelakukan bomoh warga emas yang dikenali sebagai “Ayah Su” itu terbongkar juga apabila mangsa berusia 23 tahun memberanikan diri membuat laporan polis setelah berkongsi detik hitam berkenaan kepada bakal suami serta keluarganya.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Nasaruddin Md Nasir berkata, mangsa terjumpa suspek terbabit di sebuah kedai pada 14 Oktober lalu dan menceritakan masalah ganguan mistik yang dialaminya.
“Suspek yang merupakan pesara kerajaan kemudian memberitahu boleh merawat dan meminta mangsa ke rumahnya sebelum gadis itu hadir pada jam 3 petang bersama bakal suaminya.
“Selepas itu, lelaki terbabit meminta wanita berkenaan masuk ke bilik rawatan melalui pintu belakang dengan diiringi isterinya yang dikenali dengan panggilan Mak Su,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Kelantan, hari ini.
Selepas masuk ke dalam bilik, Nasaruddin berkata, gadis berkenaan diminta menanggalkan seluar dan sesi ‘rawatan’ dimulakan apabila hanya tinggal mangsa dan suspek di dalam bilik itu.
Menurutnya, mangsa mendakwa sesi ‘rawatan’ selama setengah jam itu berakhir dengan kejadian rogol dan suspek meminta agar dia datang sekali lagi untuk rawatan susulan.
“Suspek juga memberi amaran kepada wanita itu agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian itu tetapi mangsa menceritakan kepada bakal suaminya serta keluarga sebelum tampil membuat laporan polis.
“Susulan laporan itu, suspek yang juga pesara kerajaan ditahan polis pada tengah malam hari yang sama di rumahnya,” katanya.
Nasaruddin berkata, siasatan awal mendapati suspek sudah menjalankan rawatan itu sejak kira-kira 36 tahun lalu dan dipercayai sudah lebih 10 pesakit menjadi mangsa.
“Kita seru kesemua mangsa yang pernah menjadi mnagsa perbuatan suspek untuk tampil membuat laporan polis.
Menurutnya, isteri suspek yang berusia sekitar 60-an mendakwa tidak tahu perbuatan suaminya itu yang kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 22 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK).
-EDISI9