29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Al-Quran lusuh jadi saksi warga emas khatam 130 kali

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Senaskah al-Quran lusuh telah menjadi saksi seorang warga emas, Abu Bakar Ismail, 96, berjaya mengkhatamkan al-Quran sebanyak 130 kali.

Perkara berkenaan dikongsikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang membuat kunjungan bersama Charity Care Malaysia ke rumah anak bongsu warga emas berkenaan di Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.

Menurut Zulkifli, kunjungan beliau ke sebuah rumah amat memberi keinsafan dan rasa kagum kepada individu tersebut.

“Di tangan saya adalah al-Quran lusuh yang telah dikhatamkannya sebanyak 130 kali. Beberapa kali anak menantunya mencadangkan untuk al-Quran itu ditukar kepada baharu namun beliau menolak.

“Moga al-Quran ini menjadi saksi akan istiqamah beliau mengkhatamkannya sebanyak 130 kali sepanjang hidup,” kongsinya di Facebook rasminya.

Zulkifli Mohamad Al-Bakri melihat al-Quran lusuh yang dijadikan bacaan oleh seorang Abu Bakar Ismail.

Difahamkan, Abu Bakar yang berasal dari Bakri, Muar, Johor tinggal bersama anak bongsu Roslina, 51, selepas kematian isteri, Hamidah Ali, 76, sejak 13 tahun lalu.

Beliau yang mengalami sakit tua dan sukar untuk berjalan termasuk ingatan semakin berkurangan sedikit, masih meneruskan aktiviti membaca al-Quran selepas solat fardu.

Berbaki empat tahun lagi mencecah usia 100 tahun, al-Quran yang dimiliki seawal usia perkahwinan warga emas tersebut dijaga dengan baik dan rapi.

Malah sekiranya terdapat bahagian yang tanggal dan tercabut akan digam dan dibaiki semula oleh warga emas berkenaan.

Perkongsian berkenaan mendapat pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen sehingga ada meluahkannya sebagai dorongan untuk lebih rajin lagi dalam membaca al-Quran.

Menurut seorang pemilik akaun Facebook dengan nama Adam Che Epg, dia menyatakan semoga kita semua diberikan taufik dan hidayah dari Allah untuk istiqamah dengan al-Quran.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan