25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pelacuran: 6 lelaki, 16 GRO ditahan di sebuah banglo

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS menahan enam lelaki tempatan dan 16 wanita warga Vietnam yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran di sebuah rumah banglo di Jalan Awan Larat, Taman Yarl, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur malam tadi.

Kesemuanya ditahan menerusi Op Noda oleh Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kira-kira jam 8.45 malam.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata,operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat awam.

Menurut beliau, seramai 16 wanita warga Vietnam berusia antara 21 hingga 31 tahun yang ditahan dalam serbuan itu berperanan sebagai pelayan pelanggan (GRO).

“Kita turut menahan enam lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 39 tahun dengan salah seorang berperanan sebagai ejen dan lima lagi adalah transporter atau pekerja yang membawa semua wanita itu dari sebuah lokasi ke banglo itu.

“Kejayaan serbuan ini menerusi risikan dan penyamaran polis yang dilakukan selama beberapa hari dengan berpura-pura melanggan perkhidmatan yang disediakan sindiket berkenaan,” katanya seperti dilapor BH Online.

Katanya, modus operandi sindiket ini ialah mengiklankan perkhidmatan melalui aplikasi Telegram kepada individu yang berminat.

“Apabila ada pelanggan berminat dan bersetuju dengan harga, ejen akan menentukan lokasi untuk pelanggan berhibur dan aktiviti pelacuran.

“Sindiket ini menawarkan khidmat penghantaran GRO untuk berhibur serta menyediakan kediaman mewah seperti kondominium dan banglo untuk menawarkan perkhidmatan seks,” katanya.

Mohamad Noor berkata dalam serbuan ini, sindiket menggunakan sebuah rumah banglo dua tingkat terletak dalam kawasan taman perumahan mewah yang disewa dengan harga RM3,600 sehari.

Advertisements

“Sindiket turut menyediakan peralatan hiburan seperti lampu disko, meja pool, set karaoke serta lain-lain kelengkapan.

“Peranan GRO ialah meneman pelanggan untuk minum dan berhibur serta menawarkan perkhidmaan seks dengan harga RM1,300 hingga RM2,500 seorang,” katanya.

Selain itu, katanya sindiket ini juga dipercayai menggunakan pelbagai lokasi berlainan untuk pelanggan berhibur bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Ejen akan mencari premis yang dirasakan selamat dan berdasarkan jumlah pelanggan yang akan turut serta.

“Jika jumlah pelanggan ramai dan memerlukan GRO yang ramai, maka ejen akan mencari premis yang besar, contohnya banglo tujuh bilik yang disewa hari ini (malam tadi),” katanya.

Menurut Mohamad Noor lagi, semakan awal mendapati 15 daripada 16 wanita warga asing yang ditahan itu mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengesan dalang utama atau bapa ayam sindiket ini serta berapa lama sindiket ini sudah beroperasi.

“Kesemua suspek dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan kes disiasat mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Ujar beliau lagi, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) akta sama. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan