25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

USIM lancar Bulan Kebangsaan secara dalam talian

Mesti Baca

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat USIM 2021 secara dalam talian melalui laman rasmi Facebook USIM dan USIMTV.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor USIM Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin baru-baru ini.

Prof Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya menyeru kepada warga USIM khususnya menghargai erti kemerdekaan dengan mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Marilah kita ketepikan perbezaan politik kepartian dan bangkit bersama membina semangat sehati sejiwa dalam menempuh segala dugaan dan rintangan. Tanpa perasaan curiga, semua anggota masyarakat perlu memantapkan perpaduan dan kerjasama demi kesejahteraan bersama di sebuah negara bernama Malaysia.

“Ingatlah, bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan dan merdeka juga bukan bererti bebas melakukan sesuatu sesuka hati tanpa batasan peraturan undang-undang dan etika”, ujarnya lagi.

Manakala Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Penasihat Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Bulan Kebangsaan USIM, Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, meskipun negara sedang dilanda pandemic COVID-19, USIM tetap memastikan pelbagai aktiviti Sambutan Bulan Kebangsaan dianjurkan secara dalam talian.

Hal ini adalah bagi menyemai sikap cintakan negara selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan 2021: Malaysia Prihatin.

“Terdapat tujuh program utama yang akan dijalankan sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat USIM 2021 mulai 23 Ogos hingga 22 September 2021. Antara adalah Pertandingan Menulis Puisi Patriotik, Ekspresi Merdeka USIM 2021 dan Bicara Eksekutif Sempena Sambulan Bulan Kebangsaan: Erti Sebuah Pengorbanan: COVID-19,” katanya.

“Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat Sempena Bulan Kebangsaan turut akan dianjurkan pada 17 September 2021 sebagai memperingati keluarga, sahabat handai serta semua lapisan masyarakat yang telah pergi akibat jangkitan COVID-19. Khutbah Jumaat Edisi Khas sempena Sambutan Bulan Kebangsaan akan di adakan sejurus majlis tamat,” ujarnya lagi

Sambutan Bulan Kebangsaan ini akan diakhiri dengan Forum Sempena Bulan Kebangsaan dan Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan yang akan dianjurkan pada 22 September 2021.

Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat USIM 2021 merupakan satu program yang diraikan setiap tahun bagi mensyukuri nikmat kemerdekaan dan menginsafi anugerah kebebasan oleh pejuang-pejuang tanah air yang bermati-matian mempertahankan kedaulatan negara yang dikecapi sejak tahun 1957.

USIM turut tidak ketinggalan bersama-sama meraikannya dalam keadaan negara yang masih berperang dengan pandemik COVID-19 dan belum ada penghujungnya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat sepanjang tempoh pandemik COVID-19 demi menjaga kesihatan, kesejahteraan masyarakat dan negara.

Kelainan yang diketengahkan pada pelancaran sambutan pada kali ini adalah video perasmian turut ditayangkan secara langsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC) USIM dan memberi peluang kepada warga serta pengunjung Pusat Pemberian Vaksin Mega USIM di Dewan Tuanku Canselor untuk turut serta dalam majlis pelancaran tersebut. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan