25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

Tak benar 2 pelajar SMK Tasek Damai meninggal akibat vaksin

Pelajar perempuan SMK Tasek Damai yang meninggal dunia itu, Khairunnisa Basyirah Md Khir, 17, sudah ditidurkan akibat COVID-19 sejak bulan Julai dan meninggal dunia pada Ogos lalu.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Dakwaan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, Ipoh, Perak meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, sumber memberitahu Edisi 9, salah seorang daripadanya meninggal dunia akibat jangkitan virus COVID-19 manakala seorang lagi bekas pelajar sekolah itu yang sudah tamat tingkatan lima.

“Berita tentang dua pelajar SMK Tasek Damai yang disebut dalam video yang tular itu sama sekali tidak benar.

“Seorang murid meninggal dunia akibat COVID-19, bukan akibat suntikan vaksin. Dia sejak kecil menghidap diabetes.

“Seorang lagi bukan pelajar SMK Tasek Damai tetapi bekas pelajar yang sudah tamat tingkatan lima,” kata sumber tersebut.

Sejak semalam tular rakaman video seorang wanita yang mendakwa berlaku kematian dua pelajar SMK Tasek Damai dan seorang lagi di Lahad Datu, Sabah selepas pengambilan vaksin COVID-19.

Pengetua SMK Tasek Damai, Shamshah Himi Harun (dua kiri) menziarahi ibu bapa Allahyarham Khairunnisa Basyirah Md Khir dan menyampaikan sumbangan di Ipoh, Perak pada 1 September lalu. – Foto: Edisi 9

Sumber itu memaklumkan, pelajar perempuan SMK Tasek Damai yang meninggal dunia itu, Khairunnisa Basyirah Md Khir, 17, sudah ditidurkan akibat COVID-19 sejak bulan Julai dan meninggal dunia pada Ogos lalu.

Advertisements

Manakala punca kematian seorang lagi, iaitu bekas pelajar sekolah tersebut tidak diketahui kerana sudah berusia 18 tahun dan layak menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk golongan dewasa.

“Bagaimana mereka kata pelajar ini meninggal dunia akibat vaksin sedangkan kerajaan baharu melaksanakan program vaksin untuk remaja dalam tempoh seminggu ini.

“Diharap ibu bapa tidak terpengaruh dengan kumpulan yang menolak anak-anak mereka mendapat suntikan vaksin dengan menggunakan kes-kes kematian yang tidak berkaitan sebagai umpan,” katanya.

Sumber berkata, memang terdapat belasan pelajar SMK Tasek Damai yang dijangkiti COVID-19 terutama sepanjang Julai dan Ogos lalu ekoran kluster tempat kerja, tetapi mereka dijangkiti ketika berada di dalam komuniti, bukannya di sekolah.

Ini kerana, sekolah masih ditutup manakala semua pelajar mengikuti sesi persekolahan mereka secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Untuk rekod, PICK Remaja hanya dimulakan secara rasmi pada 20 September lalu dengan menyasarkan penglibatan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika mengumumkan perkara itu berkata, pelaksanaan PICK Remaja dilakukan melalui beberapa kaedah antaranya secara jangkau luar ke sekolah atau institusi secara berjadual, suntikan di klinik kesihatan dan hospital serta kaedah jumpa terus (walk-in) di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Jangan terjebak perjudian perhubungan cinta ekspres

Oleh DR NORSAFATUL AZNIN A. RAZAK DALAM era moden yang serba pantas ini, hubungan percintaan sering kali terbentuk dengan begitu...

Lagi Artikel Berkaitan