30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tajuddin dah buka gelanggang, siapa menyusul?

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

TENTU ramai tertanya-tanya kenapa tiba-tiba Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengumumkan akan bertanding salah satu daripada tiga jawatan tertinggi UMNO, sedangkan pemilihan parti itu masih lagi jauh.

Apakah Tajuddin sekadar mahu ‘test market’ sama ada beliau memang mempunyai sokongan terutama di peringkat bahagian seluruh negara atau pun sebaliknya?

Atau beliau memang benar-benar mahu mencabar jawatan Presiden, Timbalan atau salah satu dari tiga jawatan Naib Presiden? Itu tiga jawatan tertinggi dalam UMNO.

Kepada Utusan Malaysia hari ini, Ahli Parlimen Pasir Salak itu secara terang-terangan menyebut akan bertanding salah satu daripada tiga jawatan tertinggi tersebut dalam pemilihan UMNO akan datang.

Alasan beliau, atas permintaan daripada ahli-ahli parti yang mahukan beliau bertanding. Klise.

Penulis masih ingat pada pemilihan 2018, Tajuddin turut membuat kenyataan serupa, “akan bertanding salah satu daripada tiga jawatan tertinggi.”

Beliau kemudiannya bertanding merebut jawatan Naib Presiden, bersama enam lagi calon tetapi tewas dengan memperoleh 74 undi.

Pada pemilihan 2018, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperoleh sokongan tertinggi dengan 183 undi diikuti Datuk Seri Mahdzir Khalid (125) dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (91).

Senario politik UMNO kali ini sudah tentu berbeza dengan 2018 yang mana ketika itu UMNO baharu sahaja hilang kuasa sebagai kerajaan buat kali pertama selepas 60 tahun.

Tajuddin tidak bersama 18 Ahli Parlimen UMNO yang berpaling tadah, melompat menyertai Bersatu. Beliau kekal dalam parti dan kemudian dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi Prasarana Negara tetapi kemudian digugurkan sejurus kejadian kemalangan tren dalam terowong berhampiran KLCC.

UMNO diketuai Zahid kemudian menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atas dakwaan mereka gagal mentadbir negara dengan baik ketika krisis kesihatan dan ekonomi ekoran pandemik COVID-19.

15 Ahli Parlimen UMNO termasuk Zahid menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan PN manakala 27 lagi termasuk MCA dan MIC kekal mempertahankan kerajaan.

Akhirnya Muhyiddin meletakkan jawatan selepas 17 bulan memimpin negara dalam pandemik COVID-19 dan Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri.

Di bawah kerajaan Ismail Sabri, hanya dua wakil dari ‘geng 15’ UMNO yang menyertai Kabinet iaitu Ahli Majlis Tertinggi, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Wanitanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Justeru, melihat senario politik masa kini tidak mustahil Tajuddin akan kembali bertanding untuk kerusi Naib Presiden ketika Ismail Sabri sudah pasti akan bertanding jawatan Presiden dan kemungkinan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk kerusi Timbalan Presiden.

Team Ismail Sabri ini akan bertembung dengan Team Zahid yang sudah pasti akan mempertahankan jawatannya manakala Datuk Seri Mohamad Hasan juga akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden.

Ini sudah tentu membawa satu pertandingan yang cukup menarik dalam pemilihan UMNO akan datang, walaupun masih mempunyai masa sehingga penghujung tahun depan susulan penangguhan 18 bulan yang dibuat UMNO sebelum ini.

Justeru, pengumuman oleh Tajuddin hari ini menjadikan beliau sebagai orang pertama yang membuka gelanggang bagi pemilihan UMNO akan datang. Lalu, siapa pula yang akan menyusul?

Sama-sama kita tunggu dan lihat!

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan