27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kes di Kedah, Johor punca penggunaan katil ICU masih tinggi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR – Jumlah kes COVID-19 di Kedah dan Johor menjadi faktor kadar penggunaan katil hospital termasuk di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) masih tinggi, kata Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad.

Menurut beliau, kedua-dua negeri terbabit masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun kadar vaksinasi berada pada tahap yang baik.

Sehubungan itu, beliau berkata, penduduk di negeri berkenaan perlu menyedari kepentingan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi dan mematuhi semua protokol keselamatan ditetapkan.

“Kalau hanya cakap kenapa tidak beralih fasa sedangkan kita hidup dalam disiplin yang tidak dikehendaki, tentulah tidak capai keadaan (peralihan fasa) ini. Jadi masa depan peralihan fasa bergantung kepada rakyat,” katanya, memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Naratif bertajuk Keselamatan Menyeluruh yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

Namun begitu, Rodzi yakin penduduk di kedua-dua negeri itu juga sudah pasti menginginkan peralihan fasa bagi membolehkan mereka menikmati kelonggaran yang diberikan kerajaan.

Sehingga semalam, jumlah penggunaan katil di hospital-hospital di Kedah termasuk ICU ialah 97.5 peratus manakala di Johor pula ialah 93 peratus.

Bagaimanapun, secara keseluruhan di Malaysia, jumlah penggunaan katil sudah menurun sehingga 75.2 peratus.

Buat masa ini negeri-negeri yang diletakkan di bawah Fasa Satu PPN ialah Kedah dan Johor, Fasa Dua (Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Sabah), Fasa Tiga (Perlis, Negeri Sembilan, Sarawak) dan Fasa Empat ialah Labuan.

Sementara itu, Rodzi berkata sistem pertahanan dan keselamatan siber negara adalah setaraf dengan negara maju dan turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Di peringkat ASEAN, kita saling bertukar pandangan dan pengalaman malah input pengalaman Malaysia dirujuk negara lain seperti Singapura dalam menguruskan ancaman siber di negara mereka,” katanya.- Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan