34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KKM nasihat hati-hati guna semburan ‘nano mist’

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menasihati orang ramai agar berhati-hati menggunakan semburan kabus nano (nano mist) untuk membasmi kuman dan mengekang penularan wabak COVID-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ini kerana larutan disinfeksi tersebut biasanya mengandungi alkohol 70 peratus hingga 90 peratus, hidrogen peroksida, timol, ammonia dan larutan berasaskan klorin bagi membunuh virus SARS-CoV-2 di permukaan.

Beliau berkata, larutan tersebut adalah untuk menyah kuman di permukaan persekitaran dan tidak sesuai digunakan secara langsung terhadap manusia.

“Ini adalah kerana, sesetengah larutan disinfeksi ini boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan juga sistem pencernaan.

“KKM ingin menegaskan, penyemburan disinfeksi melalui nano mist tidak menggantikan keperluan disinfeksi permukaan secara manual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya memandang berat isu berkaitan keselamatan dan keberkesanan penggunaan penyembur nano mist sebagai alat disinfeksi.

Jelas beliau, semburan nano mist adalah alat penyembur yang boleh menghasilkan titisan halus bersaiz nano yang dihasilkan untuk pelbagai tujuan.

Ini termasuk kosmetik, wangian dan pelbagai kegunaan domestik serta industri, bergantung kepada spesifikasi alat dan jenis cecair yang digunakan.

Katanya, alat ini terdapat dalam pelbagai bentuk dari saiz kecil untuk penggunaan persendirian seperti spray gun, handheld spray sehingga saiz yang lebih besar untuk kegunaan industri.

“Ramai beranggapan penggunaan alat ini berupaya menghapuskan virus di udara (airborne) dan juga di permukaan.

“Walau bagaimanapun, keberkesanan penggunaan penyembur nano mist untuk disinfeksi bergantung kepada keupayaan alat tersebut menghasilkan semburan yang sekata pada permukaan, jenis dan kepekatan larutan disinfeksi yang digunakan, serta tempoh masa pendedahan,” katanya.

Beliau berkata, KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengeluarkan garis panduan untuk pendaftaran disinfektan permukaan yang boleh dicapai melalui laman web www.npra.gov.my.

Orang ramai juga dinasihat merujuk kepada kepada laporan penilaian terhadap pelbagai kaedah disinfeksi bagi pencegahan penularan COVID-19 menerui laman web covid-19.moh.gov.my. – Edisi 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan