30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Sahkan wang pinjaman, keputusan tarik balik pertuduhan berasas

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan keputusan menarik balik 29 pertuduhan rasuah terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid oleh pihak pendakwaan baru-baru ini adalah berasaskan fakta yang disahkan daripada siasatan lanjut.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan perkara tersebut bermula apabila tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 semasa perbicaraan telah berlangsung.

Menurut kenyataan berkenaan, susulan itu SPRM menjalankan siasatan lanjut berkenaan pembelaan tersebut.

“Berdasarkan dapatan baharu menerusi keterangan yang dikemukakan, tertuduh membuktikan beliau telah membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan.

“Saksi utama turut mengesahkan perkara tersebut sebagai wang pinjaman,” kongsinya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan turut berkongsikan SPRM telah merujuk kembali kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan perbicaraan tidak diteruskan berdasarkan perkembangan terbaharu siasatan tersebut.

“Keputusan itu dibuat kerana keterangan saksi utama tidak konsisten.

“Pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu, semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei 2021,” jelasnya.

Memetik laporan Bernama 1 September lalu, Noor Ehsanuddin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 29 pertuduhan rasuah, selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan itu.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Noor Ehsanuddin berkata, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu, ketika prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei lalu.

Perbicaraan kes itu bermula pada Ogos 2019 dan seramai 24 saksi pendakwaan, antaranya pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia, telah memberi keterangan.

Noor Ehsanuddin, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen atas 14 pertuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Difahamkan kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

Di Mahkamah Johor Bahru, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama, pada 2013 dan 2014.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60.

Kes di Johor Bahru dan Shah Alam dibicarakan bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen di sini.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan