30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kualiti PdP dapat dipertingkat menerusi kaedah hibrid – MQA

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) boleh dipertingkat melalui kaedah hibrid berbanding menjalaninya secara dalam talian selama tiga semester lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, beliau yakin fleksibiliti itu akan membuatkan pelajar berasa seronok dan gembira untuk kembali belajar di kampus, begitu juga pensyarah.

Bagaimanapun, katanya, apa yang lebih penting, prosedur operasi standard (SOP) perlu terus dipatuhi seperti mana ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kelonggaran diberikan ini selaras dengan hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjaga.

“Dengan ketetapan menerusi pengumuman menteri hari ini, pelajar dapat pulang ke institut pengajian tinggi (IPT) masing-masing dengan selamat dan menikmati semula PdP secara bersemuka, selain turut diberi pilihan untuk belajar secara maya,” katanya hari ini.

Beliau mengulas pengumuman kemasukan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) secara fizikal ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober ini melibatkan pelajar yang telah lengkap vaksinasi COVID-19 dengan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

Keputusan kemasukan secara fizikal itu dibuat setelah mengambil kira input daripada sesi libat urus bersama MKN, Kementerian Kesihatan (KKM) serta pengurusan IPT, wakil persatuan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Majlis Perwakilan Pelajar serta kesatuan dan persatuan pelajar IPT.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, satu lagi perkara yang perlu direbut warga kampus khususnya yang belum mendapatkan vaksinasi ialah Program VACC2Campus.

“Sekiranya warga kampus termasuk kakitangan akademik, bukan akademik dan pelajar komited untuk membentuk imuniti kelompok, rebutlah peluang ini.

“Warga IPT boleh mendapatkan vaksin secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin dengan hanya perlu bawa kad pelajar/kad pekerja dan kad pengenalan/passport sahaja,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan