CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan jumlah kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di negara ini merekodkan sebanyak 1,247 kes hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dari jumlah berkenaan 836 kes adalah disebabkan Covid-19, manakala, baki 311 kes lagi ialah kes yang disyaki dan masih dalam siasatan.
Menurutnya, bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 667 kes direkodkan di mana 453 kes positif Covid-19 dan baki 214 kes lagi ialah kes yang disyaki dan masih dalam siasatan.
“Kes sembuh Covid-19 mencatatkan 21,771 kes iaitu melebihi kes harian menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 1,700,733 kes.
“Daripada 19,550 kes harian yang dilaporkan, sebanyak 265 kes (1.4 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala, 19,285 kes (98.6 peratus) kategori satu dan dua,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 28 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 17 kluster tempat kerja, enam kluster komuniti, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi dan dua kluster pendidikan.
-EDISI9