31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

PPVIN MTC@Olak Lempit beri vaksin 10,000 pekerja

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

BANTING – Seramai 10,000 pekerja industri perkayuan dan perabot yang berada di sekitar Selangor akan divaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) MTC@Olak Lempit di sini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, PPVIN MTC@Olak Lempit merupakan PPVIN kedua yang beroperasi selepas PPVIN Ladang Tennamaram dibuka pada 26 Julai 2021.

Menurut beliau, PPVIN MTC@Olak Lempit di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) telah memulakan operasinya pada 28 Julai 2021 dan berakhir pada 4 September 2021.

“Operasi PPVIN melalui kerjasama dengan pihak industri adalah kaedah terbaik bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada semua pekerja sektor agrikomoditi tanpa perlu bergantung kepada PPV Awam yang mempunyai kekangan tersendiri.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, buat masa ini vaksinasi secara ‘walk in’ bagi bukan warganegara hanya akan dibuat di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil sahaja bermula 9 Ogos hingga 22 Ogos 2021 dan mereka tidak dibenarkan untuk hadir di mana-mana PPV Awam,” katanya dalam kenyataan media.

Mohd Khairuddin meluangkan masa melawat PPVIN MTC@Olak Lempit hari ini.

Hadir sama dalam lawatan tersebut Timbalannya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng serta Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ravi Muthayah.

Advertisements

Beliau menambah, dalam menyokong usaha kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi ini, pihak industri digalakkan terlibat secara langsung sebagai pemudah cara dengan mewujudkan PPVIN sendiri di lokasi yang bersesuaian, setelah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

Mohd Khairuddin memberitahu, untuk program ini, Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) telah memberi subsidi sebanyak RM30 untuk setiap pekerja dan kakitangan industri terlibat.

“Bagi syarikat yang berada di bawah sektor agrikomoditi, permohonan menyertai Program VACOMS boleh dibuat melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sekiranya syarikat mempunyai jumlah pekerja sekurang-kurangnya 1,000 orang atau bergabung dengan syarikat lain bagi mencukupkan bilangan tersebut.

“Pelaksanaan kaedah PPV Bergerak juga boleh dibincangkan dengan lebih lanjut oleh pihak industri bersama penyedia perkhidmatan yang mempunyai trak vaksin dan dikemukakan permohonan kepada KPPK untuk diluluskan oleh CITF,” jelasnya.

Beliau berkata, pemberian vaksin adalah percuma, namun pihak syarikat masih perlu menanggung kos pentadbiran vaksin dan kos pengoperasian PPVIN sama ada di lapangan atau pun secara bergerak dan caj keseluruhan yang ditetapkan bagi setiap pekerja juga tidak melebihi RM100.

“KPPK menyasarkan lebih banyak PPVIN di bawah Program VACOMS dapat dibuka oleh industri bagi mencapai imuniti kelompok dalam tempoh terdekat. Walau bagaimanapun, proses pembukaan PPVIN adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan CITF,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan