29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

17,105 kes baharu harian COVID-19, kanak-kanak lelaki cetus kluster baharu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kes baharu harian COVID-19 meningkat naik pada hari ini, dengan sebanyak 17,105 kes baharu dilaporkan, berbanding semalam iaitu sebanyak 15,764 kes.

Dengan pertambahan kes baharu harian tersebut menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 1,163,291 kes sejak pandemik melanda negara tahun lepas.

Pesakit yang sedang dirawat dan diasingkan juga terus melonjak melepasi angka 200,000 dengan 203,664 kes, termasuk 1,066 kes sedang dirawat di Unit Rawaran Rapi (ICU) dan 537 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam masa sama, sebanyak 12,297 kes sembuh direkodkan dengan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 950,029 kes.

Terdapat 195 kes kematian COVID-19 lagi dilaporkan pada hari ini termasuk membabitkan 22 warga asing terdiri daripada 111 lelaki dan 84 wanita dengan 34 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes harian, sebanyak 317 kes (1.9 peratus) kategori tiga, empat dan lima, manakala 16,788 kes (98.1 peratus) daripada kategori satu dan dua.

“Ini berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis COVID -19. Ada di antara kes kekal di kategori sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hanya 3,115 kes (18.2 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah imunisasi COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Beliau berkata, sebanyak 97 kes melibatkan kategori lima (kritikal, menggunakan ventilator) dengan 89 kes atau 91.8 peratus tiada sejarah vaksinasi manakala, 85 kes kategori empat (perlu bantuan oksigen) dengan 67 kes atau 78.8 peratus tiada sejarah vaksinasi.

“Kategori tiga pula (radang paru-paru) merekodkan 135 kes dengan 87 kes atau 64.4 peratus tiada sejarah vaksinasi dan 8,520 kes kategori dua (gejala ringan) iaitu 6,265 kes atau 73.5 peratus tiada sejarah vaksinasi.

“Bagi kategori satu (tiada gejala) pula merekodkan 8,268 kes iaitu 7,482 kes atau 90.5 peratus tiada sejarah vaksinasi,” katanya.

Dr Noor Hisham menambah, didapati 81.79 peratus kes yang baharu didiagnosis COVID-19 tidak mempunyai sejarah vaksinasi.

“Oleh itu, segeralah dapatkan vaksinasi agar anda dan keluarga terlindung daripada bahaya jangkitan COVID-19,” katanya.

Terdahulu dalam perkongsian di Facebook, Dr Noor Hisham berkata, Selangor bagaimanapun merekodkan penurunan kes baharu iaitu sebanyak 5,836 kes dilaporkan berbanding sehari sebelumnya iaitu sebanyak 6,067 kes.

“Namun kes baharu di Kuala Lumpur melepasi angka 2,000 dengan 2,309 kes dilaporkan diikuti Johor (1,275 kes), Kedah (1,036 kes) dan Sabah (1,010 kes).

“Seterusnya, Perak (967 kes), Kelantan (915 kes), Negeri Sembilan (816 kes), Pulau Pinang (798 kes), Pahang (628 kes), Melaka (508 kes), Sarawak (494 kes) dan Terengganu (429 kes).

“Putrajaya pula (72 kes), Perlis (tujuh kes) dan Labuan (lima kes),” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 30 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 13 kluster komuniti, 14 kluster tempat kerja serta dua kluster kumpulan berisiko tinggi.

“Daripada 13 kluster komuniti tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan individu bergejala ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang disahkan positif COVID-19 hari ini, dan telah mendapati mencetuskan satu lagi kluster baharu melibatkan aktiviti ziarah sempena majlis kenduri perkahwinan di Kelantan.

“Kluster berkenaan dikenali sebagai Kluster Kampung Padang Tok La dan dilaporkan berlaku di Pasir Mas dan sehingga kini menjangkiti lapan orang hasil saringan terhadap 10 individu.

“Kluster ini melibatkan aktiviti ziarah menziarahi di Kampung Padang Tok La, Pasir Mas sempena majlis kenduri perkahwinan.

“Kanak-kanak lelaki yang juga kes indeks tersebut mula bergejala pada 23 Julai lalu,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan