25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Jumlah pesakit COVID-19 masuk ICU di Lembah Klang menurun

Mesti Baca

CYBERJAYA – Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke unit rawatan rapi (ICU) hospital-hospital di Lembah Klang menunjukkan trend penurunan selari dengan peningkatan liputan dos vaksin yang lengkap.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menunjukkan kadar vaksinasi COVID-19 yang kini meningkat khususnya di Lembah Klang terus menunjukkan tanda-tanda awal yang positif.

Menurut beliau, kadar kemasukan pesakit akibat jangkitan virus berkenaan bagi kategori 4 dan 5 di Hospital Sungai Buloh (HSB) semakin berkurangan.

“Statistik harian wad COVID-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Kelang (juga) jelas menunjukkan pengurangan kes kemasukan ke hospital dan pengurangan kes kematian serta peningkatan kes sembuh dan discaj,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Berdasarkan statistik yang dikongsi beliau, jumlah kemasukan pesakit ke ICU di HSB pada minggu ke-34 keseluruhan ialah 273 orang berbanding 423 orang pada minggu sebelumnya.

Manakala jumlah tertinggi kemasukan ke ICU di HSB adalah pada minggu ke-30 iaitu seramai 607 orang dan pada minggu yang sama kerajaan menggerakkan Operasi Lonjakan Kapasiti.

Advertisements

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai agar berusaha memastikan diri sendiri dan ahli keluarga yang layak menerima dos vaksinasi lengkap.

Katanya, ini bagi mengurangkan risiko keterukan penyakit yang serius dan kemasukan ke hospital, mengurangkan risiko kemasukan ke ICU dan mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19.

“Mengambil dos lengkap vaksin COVID-19, memakai pelitup muka (sebaik-baiknya pelitup muka berganda dan pelindung muka), menjaga penjarakan fizikal dengan mengelakkan 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) dan kerap mencuci tangan adalah usaha dan ikhtiar kita untuk mencegah dan membendung penularan jangkitan virus COVID-19,” katanya.

Semalam, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu MAEPS Serdang memaklumkan jumlah pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di pusat tersebut sudah menunjukkan pengurangan sehingga lima kali ganda berbanding sebulan lalu.

Pengarahnya, Dr Shahabuddin Ibrahim berkata, perkembangan itu menunjukkan ‘sinar’ bahawa situasi COVID -19 di negara ini semakin baik.

Menurutnya, trend penurunan positif itu berlaku sejak tiga ke empat minggu lalu, dengan jumlah pesakit memerlukan bantuan oksigen hanya 109 orang berbanding 525 orang sebelum ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan